Monday, February 27, 2012

Lelaki terpendek di dunia

Dangi bergambar bersama sijil yang mengesahkan beliau sebagai lelaki paling pendek di dunia di Katmandu, Nepal
 
Kathmandu, Seorang lelaki berusia 72 tahun, Chandra Bahadur Dangi dari sebuah kampung terpencil di barat daya Nepal diiktiraf semalam sebagai lelaki paling pendek di dunia selepas ketinggiannya diukur oleh beberapa pegawai Guinness World Records.

Dangi setinggi 54.6 sentimeter (sm), 5.3sm lebih pendek daripada pemegang rekod sebelum ini, Junrey Balawing dari Filipina.

"Saya berasa amat gembira," kata Dangi kepada pemberita.

"Saya akan bekerja untuk mempromosikan negara saya ke seluruh dunia," tambahnya.

Dangi yang seberat 12 kilogram juga diisytiharkan sebagai manusia paling pendek pernah direkodkan sekali gus mengambil alih tempat Gul Mohammed yang setinggi 57sm sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1997 semasa berumur 40 tahun.

"Saya terus-menerus berasa takjub bahawa rekod ini terus dipecahkan," kata Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday dalam satu kenyataan selepas ketinggian Dangi diukur di sini.

Menurutnya, jika umur Dangi betul, dia akan menjadi individu paling tua yang memiliki rekod dalam sejarah 57 tahun Guinness World Records.

Dangi tinggal di daerah Dang, 350 kilometer dari sini.

Dia pernah menyatakan sudah terlalu tua untuk berkahwin tetapi masih berminat untuk mengembara ke negara-negara lain.

Beberapa pegawai Guinness World Records menyatakan mereka masih belum mengetahui punca yang menyebabkan Dangi menjadi pendek.

Dangi pernah menyatakan bahawa dia dijadikan bahan sarkas semasa muda oleh beberapa saudarannya.



Sumber - Berita Harian, 27hb. Feb. 2012

Tempat di pejabat yang paling disukai kuman

Satu kajian di Washington, mengenai kuman di pejabat mendapati bahawa telefon adalah tempat paling kotor di tempat kerja dan anda boleh dijangkiti selesema atau batuk hanya dengan menggunakan telefon pejabat.

Kajian berkenaan dikendalikan oleh seorang profesor mikrobiologi, Charles Gerba dari Univesiti Arizona. “Tiada sesiapa yang membersihkan atau membasmi kuman pada telefon pejabat,” kata Gerba yang dipetik CBS News.

Pekerja juga diberi amaran supaya berhati-hati di tempat yang mudah dijangkiti bakteria dan virus yang bersembunyi di pejabat. Bagaimanapun penemuan paling mengejutkan ialah ia tidak membabitkan tempat duduk dalam tandas.

“Pekerja sentiasa membersihkan tandas hampir sepanjang masa.

“Malah anda juga boleh mendapat kuman dari laci meja dan juga papan kekunci komputer, kata Gerba di mana tempat berkenaan hanya akan dibersihkan apabila ia melekit.

“Kita sering menemui virus selsema pada komputer sewaktu musim sejuk,” kata Gerba. Dalam satu siaran berita ABCNews.com, Gerba berkata beliau menemui bakteria usus yang biasanya wujud dalam najis manusia pada satu daripada mangkuk gula-gula seorang daripada pekerja.

“Cerek kopi, kepala paip sinki, peti sejuk serta pemegangnya dan ketuhar gelombang mikro adalah beberapa bahagian paling kotor yang biasa di tempat kerja,” kata Brad Reynolds, daripada projek North American Platform Leader for The Healthy Workplace yang dikendalikan firma Kimberly-Clark Professional.

“Secara keseluruhan, semua barangan ini adalah empat kali ganda mempunyai tahap bakteria yang sama pada tempat duduk tandas,” katanya.

“Walaupun ramai pekerja menggunakan bilik rehat pejabat secara harian, ia secara umumnya tidak dibersihkan kecuali sehari oleh pekerja pembersih dan jarang sekali dilakukan sendiri oleh pekerja menyebabkan pencemaran lebih mudah dipindahkan daripada seseorang kepada yang lain sepanjang hari,” kata Reynolds.

Beliau berkata, bilik persidangan juga antara tempat paling mudah untuk kuman tersebar, misalnya ketika seseorang berjabat tangan dengan yang lain.

“Setiap orang perlu membersihkan tangan mereka sebelum atau selepas mesyuarat untuk mengelak kuman dibawa balik ke meja mereka,” kata Reynolds.

Butang pada lif, mesin menyalin atau pembuat kopi juga adalah sama seperti berjabat tangan. 

– Sumber, Berita Harian - 27 Feb, 2012

Misteri Penyakit Angguk

Sengsara...Anywar tidak boleh berjalan dan makan sendiri selepas diserang penyakit misteri

PATRICK ANYWAR, 14, yang tidak memakai seurat benang pun baring mengerekot di halaman rumahnya yang berdebu. Dia menggunakan seluruh kudratnya untuk merenung adik-adiknya yang yang leka bermain di depan rumah mereka di Uganda. 

Bagaimanapun tenaga dari tubuhnya yang kurus itu sangat terbatas. Selepas beberapa minit, kepalanya tertunduk sehingga dagunya menyentuh dada manakala badannya pula kelihatan tegang akibat sawan. 

Anywar adalah salah seorang daripada lebih 3,000 kanak-kanak di utara Uganda yang mengalami masalah misteri seperti itu - yang dipanggil penyakit angguk. 

Boleh dikatakan semua keluarga di kampung Tumangu mengalami penyakit misteri ini. 

Sudah bertahun-tahun saintis cuba mencari punca penyakit ini tetapi tidak berjaya dan menurut penduduk, penyakit angguk ini sudah mengorbankan beratus-ratus kanak-kanak. 

Apa yang mereka (saintis) tahu, penyakit misteri ini hanya berlaku pada kanak-kanak dan secara perlahan-lahan ia melemahkan badan pesakit dengan masalah sawan, membantutkan pertumbuhan, menjejaskan fungsi anggota tangan dan kaki, mengurangkan keupayaan mental dan kadangkala mengakibatkan kebuluran.

Penyakit ini sudah meragut abang Anywar, Wanton pada 2010. Ibu Anywar, Rugina Abwoyo, berkata dia tidak mampu melakukan apa-apa pada anak yang diserang penyakit angguk selain melihat dan reda melepaskan anaknya ‘pergi’.


“Sebelum ini, dia (Anywar) boleh berjalan dan berlari seperti kanak-kanak lain.

Tetapi kini dia hanya mampu baring. Perlu ada orang yang menemani dan menjaganya sepanjang masa. Penyakit ini sangat teruk, ia menyebabkan Anywar tidak boleh makan dan minum sendiri,” katanya.

Sambil berjalan meredah ladang sorghum atau betari (tumbuh-tumbuhan bijirin seperti pokok jagung), Joe Otto, sukarelawan kesihatan bercerita bagaimana penyakit angguk menyerang kanak-kanak Kampung Tumangu, yang terletak kira-kira 450 kilometer di utara Kampala, ibu negara Uganda.


“Tumangu didiami 780 penduduk dan di kampung ini saja ada 97 kes penyakit angguk. Boleh dikatakan semua keluarga mengalaminya,” kata Otto, 54.


Apabila bekalan ubat (yang hanya sekali sekala) tiba di pusat kesihatan tempatan yang terletak beberapa kilometer dari Tumangu, Otto terpaksa mengayuh basikal untuk mengambilnya sebelum diagihkan kepada pesakit. Pun begitu, Otto maklum, ubat berkenaan hanya memberi kelegaan sementara.


“Kami beri ubat seperti carbamazepine untuk epilepsi (yang menyebabkan sawan), tetapi penyakit ini sama sekali berbeza dengan epilepsi,” sambungnya lagi.


Apabila penyakit itu merebak ke seluruh kampung, ketakutan dan kebimbangan penduduk kampung mula berkurang. Malah mereka sudah boleh menerima kehadiran penyakit berkenaan.


“Kami beritahu penduduk bahawa pesakit yang meninggal dunia adalah mereka yang sudah sembuh. Mereka akhirnya terlepas daripada penyakit yang menyebabkan pelbagai penderitaan itu,” kata Otto dalam nada sedih.


Sehingga kini saintis masih berusaha mencari penawarnya. Sejak 2010, penyelidik daripada pelbagai bidang termasuk pakar epidemiologi, alam sekitar, neurologi, toksikologi dan psikiatri aktif melakukan pelbagai ujian.


Pakar ini cuba melihat kepada kemungkinan mengaitkan penyakit itu dengan semua perkara daripada parasit (yang menyebabkan kebutaan sungai) kepada kekurangan zat hinggalah kesan peperangan yang melanda utara Uganda selama beberapa dekad.


“Kami melihat daripada pelbagai aspek, tetapi malangnya masih belum jumpa apa-apa faktor risiko yang jelas. Kami masih melakukan kajian mencari ejen yang menyebabkan perkara ini berlaku,” kata Miriam Nanyunja, pegawai jabatan pencegahan dan kawalan penyakit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Kampala.


Selalunya hasil kajian akan mencetuskan lebih banyak persoalan. Saintis masih tidak tahu sama ada penyakit ini ada kaitan dengan ledakan penyakit yang lebih kurang sama di utara Sudan dan Tanzania.


Saintis juga giat berusaha untuk memahami dan mengetahui sama ada penyakit ini masih merebak atau sudah sampai ke kemuncaknya; dan mengapa ia hanya berlaku pada sesetengah komuniti saja.


Bulan lalu, selepas menerima banyak tekanan daripada pemerintah di kawasan yang mempunyai ramai pesakit, Kementerian Kesihatan Uganda melancarkan pelan kecemasan untuk cuba mengenal pasti dan mengawal penyakit.


Bagaimanapun Nanyunja berkata, sementara penyelidikan mencari punca dan penawar giat dilakukan, doktor hanya boleh memberi rawatan untuk mengurangkan gejala penyakit saja.


“Ada banyak penyakit yang kita rawat gejalanya saja, tanpa mengetahui punca sebenarnya,” kata Nanyunja.


Namun bagi Patrick Anywar, sebarang cubaan untuk mengekang atau merawat penyakitnya itu mungkin terlalu lewat.


“Kami berharap doktor berusaha lebih kuat untuk mencari rawatan penyakit ini.
Masa depan kami sudah musnah kerana terlalu ramai kanak-kanak yang sakit. Namun, kami tetap berharap ia akan dapat menyelamatkan anak-anak yang lebih kecil,” kata Abwoyo. - AFP

Petikan dari Harian Metro - 27 Febuari 2012