Wednesday, August 8, 2012

Labah-labah terbesar di dunia

Labah-labah yang dikenali sebagai `Goliath Bird Eating’ merupakan labah-labah yang terbesar di dunia. Labah-labah berbulu ini mempunyai ukuran panjang 30 sentimeter iaitu sebesar pinggan makan.

Selalunya ia mendiami kawasan lembah yang lembap.

Walaupun labah-labah ini dinamakan labah-labah pemakan burung namun ia menggemari makanan seperti katak, ular kecil, kelawar, serangga dan kumbang.

Ia mempunyai bisa di taringnya namun ia tidak begitu berbahaya kepada manusia.

Labah-labah ini tergolong dalam spesies tarantula tetapi hanya menyerang manusia jika ia diganggu.

Bisanya hanya akan menyebabkan bengkak dan sakit yang sederhana dan akan hilang dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Namun yang berbahaya ialah labah-labah ini mampu menanggalkan bulunya yang halus itu dan apabila ia terkena kepada manusia akan menyebabkan gatal-gatal pada kulit.

Apabila terasa diancam, labah-labah itu mampu membuat bunyi bising seakan berdesir dengan menggeselkan bulu di kaki-kakinya. Bunyi itu mampu didengari dalam jarak kira-kira 24 kilometer.



Sumber - Info Esti keluaran Mei 2003

Muzium minyak wangi terbaik dunia


KUASA minyak wangi pada zaman dahulu lebih kepada spiritual.
“Di sinilah tersimpannya warisan kebanggaan kami, tempat koleksi haruman chypre dari tahun 1917,” ujar Yves Tanguy, pemegang kunci bilik bawah tanah itu sambil mencelup kertas keras ke dalam bebuli minyak wangi yang merupakan satu antara ribuan khazanah unik di muzium minyak wangi di Paris, Perancis itu.

Haruman zaman dahulu ciptaan Francois Coty yang masyhur pada eranya bersama wangian abad ke-14, Water of the Queen of Hungary dan air dakelom (water cologne) yang digunakan Napoleon Bonaparte ketika berada dalam buangan di Saint Helena pada tahun 1815 juga boleh ditemui di Muzium Osmotheque.

Gabungan perkataan Yunani, osme yang bermaksud wangian dan theke bererti dada membentuk Osmotheque yang ditubuhkan oleh Jean Kerleo dan dipengerusikan oleh Patricia de Nicolai. Kerleo merupakan bekas pencipta minyak wangi di Patou, manakala Nicolai ialah waris kepada rumah minyak wangi terkemuka Guerlain.

Hanya individu terpilih mempunyai akses untuk masuk ke bilik persendirian yang memuatkan kira-kira 2,500 minyak wangi paling jarang ditemui.

Setiap minyak wangi di muzium itu dikelaskan mengikut nombor dan jenis. Botol-botol haruman pula disimpan di sebalik pintu bertetulang di dalam bilik bawah tanah berkeluasan beberapa meter persegi. Cahaya buatan dan suhu stabil 13 darjah celsius mengekalkan kualiti minyak wangi tersebut.

“Kesemua haruman ini adalah permata kami. Hampir 400 haruman yang kami lindungi merupakan wangian daripada masa lampau atau yang tidak lagi ada dalam pasaran.

“Kami mencipta semula 175 minyak wangian menggunakan formula asli. Wangian yang dikembalikan termasuk haruman Barat berasaskan alkohol pertama di dunia menggunakan rosemary iaitu Water of the Queen of Hungary. Ia pertama kali dihasilkan pada tahun 1370 menggunakan teknik penyulingan yang dipelajari daripada orang Arab,” jelas Tanguy.

ORANG awam berpeluang melihat pameran minyak wangi dan mendengar penerangan mengikut topik yang menarik pada waktu tertentu.
Pada waktu dahulu, minyak wangi dicipta untuk memabukkan si pemakai. Terdapat kisah mengatakan ia memiliki kuasa penawar bagi mengembalikan keremajaan seorang permaisuri sehingga membolehkan beliau dilamar dan berkahwin dengan Raja Poland pada usia 75 tahun.

Napoleon Bonaparte pula dipercayai memerlukan 120 liter minyak wangi setiap bulan. Beliau menggosok haruman pada tubuhnya dan menyimpan botol wangian itu di dalam butnya.

Selepas dibuang negeri ke pulau Atlantik di Saint Helena pada penghujung riwayatnya, Bonaparte memohon preskripsi untuk membuat dakelom menggunakan herba-herba di pulau tersebut. Kesemua ciptaan Bonaparte kini juga dihasilkan semula dan disimpan di Osmotheque.

Minyak wangi di muzium itu bukan untuk dijual dan kesemua 200 bekas sentiasa berisi sampel-sampel yang dibawa Kerleo dan Tanguy dari serata dunia. Ia merupakan hasil pemberian rumah-rumah minyak wangi mewah dan pencipta haruman itu sendiri.

Pada waktu tertentu, Osmotheque dibuka kepada orang awam bagi mengikuti ceramah dan penerangan tentang minyak wangi pada era tertentu yang ditetapkan berdasarkan tema.

Bagi menguruskan muzium tersebut, Kerleo telah mengumpulkan pangkalan data olfaktori bersama-sama sekumpulan pakar minyak wangi. Kumpulan tersebut ditugaskan untuk mengenal pasti formula haruman purba dan ramuan wangian yang jarang ditemui atau kini diharamkan penggunaannya.

Sebagai contoh, bendalir seperti musk yang dihasilkan daripada kelenjar perineum musang Afrika. Esen mamalia seperti kucing yang mula digunakan dalam dunia minyak wangi lebih 2,000 tahun dahulu itu kini tidak lagi dibenarkan.

MINYAK wangi yang telah pupus sejak berabad lama dicipta semula dan disimpan di muzium ini.

Bijian musk Tibet yang diambil daripada kelenjar kijang jantan kasturi (musk deer) juga kini diharamkan selepas diumumkan di persidangan perdagangan antarabangsa dalam kategori spesies terancam.

Menurut Kerleo, tanpa bijian itu tiada minyak wangi hebat Chanel dapat dihasilkan.

Kedua-dua pati bersejarah tersebut disimpan dengan selamat di bilik bawah tanah Osmotheque. Bahagian atas muzium pula menempatkan barisan botol-botol wangian berserta ramuan-ramuan menyerupai bentuk organ (alat muzik).

“Ini merupakan papan kekunci pakar minyak wangi,” ujar Kerleo sambil menunjukkan botol-botol yang disimpan sebaris dengan rak berlubang kecil berisi lumut oak, halia, kemenyan harum atau herba pokok nilam. – AFP