Sunday, February 26, 2012

Lukisan mampu raih lelongan RM120 juta

 
Sebuah lukisan karya pelukis terkemuka Amerika Syarikat, Roy Lichtenstein dijangka dijual pada harga AS$40 juta (RM120 juta) dalam satu lelongan yang akan diadakan pertengahan tahun ini. Lukisan yang dikenali sebagai Sleeping Girl itu hanya pernah dipamerkan kepada umum sekali.

Ia adalah siri beberapa lukisan gambar yang diilhamkan daripada buku komik yang dihasilkan oleh Lichtenstein pada 1960-an. Lukisan itu memaparkan gambar wajah wanita yang berambut perang muda dengan mata tertutup. Sleeping Girl yang diperolehi dari kediaman Beatrice dan Phillip Gersh di Los Angeles akan dilelong oleh firma lelongan Sotheby's pada 9 Mei ini.

Sebelum ini, lukisan Lichtenstein, I Can See the Whole Room! ... and There's Nobody in it! memecah rekod jualan dunia oleh pelukis kontemporari apabila berjaya dijual pada harga AS$43.2 juta (RM130 juta) November lalu. - AGENSI







Ukiran pokok misteri

Unik... ukiran ikan raja udang ini dianggap hasil seni paling hebat
PENDUDUK Knaresborough, Yorkshire Utara, baru-baru ini gempar apabila beberapa batang pokok di sekitar bandar berkenaan dihiasi ukiran misteri. Ukiran cantik dan penuh teliti itu menjadikan sebahagian pokok di Knaresborough bertukar wajah menjadi pelbagai imej, termasuk naga, burung dan hantu.

Beberapa penduduk setempat percaya, sekumpulan artis ala Banksy yang enggan dikenali, ‘menyerang’ bandar berkenaan. Banksy adalah nama samaran bagi seorang seniman dan aktivis politik yang berpangkalan di England dan giat melakukan pernyataan satira melalui grafiti.
Secara umum, penduduk Knaresborough kagum dengan ketelitian ukiran setinggi di antara tiga hingga tujuh meter itu. Menurut mereka, walaupun mungkin dianggap merosakkan tanaman, sebenarnya kemunculan ukiran itu membolehkan Knaresborough menjadi destinasi tarikan pelancong.

Sesetengah mereka berpendapat, penduduk Knaresborough wajar berterima kasih kepada pengukir yang bertanggungjawab mengubah pokok biasa itu menjadi arca luar biasa. Dengan kewujudan ukiran berkenaan, Knaresborough kini boleh berbangga kerana popularitinya sebaris dengan Gua Mother Shipton yang juga terletak di bandar berkenaan.

Sejak kemunculan arca itu dua bulan lalu, tiada sesiapa melihat pengukirnya meninggalkan sebarang kesan atau bayangan bagi membolehkan orang ramai mengetahui siapa melakukannya. Pengerusi Persatuan Sivik Knaresborough, Althea Farmer berkata, seluruh bandar itu bercakap mengenai kemunculan ukiran di pokok berkenaan. “Seorang daripada ahli persatuan ini melihat secara dekat ukiran itu. Katanya, ukiran terbaik adalah imej burung raja udang yang terbang menjunam bersama ikan di mulutnya,” katanya.

Menyedari kehalusan ukiran berkenaan, Althea yakin penciptanya mengambil masa lama untuk menyiapkannya. Setakat ini, kata Althea, tiada sesiapa tampil untuk mendedahkan maklumat pencipta ukiran berkenaan. “Ia memang misteri walaupun kemunculan imej berkenaan memberi publisiti baik kepada bandar ini. Misteri ini juga mungkin menjadi satu lagi sumber tarikan pelancong ke Knaresborough,” katanya.

Sementara itu, persatuan berkenaan dilaporkan cuba mengesan seniman yang bertanggungjawab di sebalik kemunculan imej berkenaan. Mereka juga menggesa seniman terbabit menghubungi persatuan itu untuk membolehkan misteri itu diselesaikan.

Althea berkata, mereka memang berminat mengetahui identiti seniman berkenaan. Katanya, hakikat tiada sesiapa tahu mengenainya menjadikan misteri Knaresborough itu seperti teka-teki lukisan Banksy. “Bagaimanapun, mereka sangat berbakat dan kami memang berharap seniman terbabit tampil,” katanya.


Tarikan .. antara ukiran luarbiasa di Knaresborough
Pelbagai .. pengukir misteri turut menghasilkan imej menakutkan



Sumber - Harian Metro, 26 Febuari 2012


Warna-warni



Pelajar mengenakan kostum warna warni ketika membuat persembahan untuk pesta "Pasinaya" di Manila. Menurut media tempatan, Pesta Pasinaya adalah pesta seni terbesar di Filifina yang melibatkan 5,000 artis dan 300 persembahan yang diadakan dalam sehari.






Jangan bunuh saya



Aktivis kumpulan Profauna memakai kostum penyu ketika menunjuk perasaan membantah perdagangan penyu secara haram di hadapan mahkamah Puputan Badung di Denpasar, Bali. Menurut aktivis, daging, telur, cengkerang dan cenderahati diperbuat daripada anggota penyu dijual secara berluasa di Indonesia.