Tuesday, August 28, 2012

Pelancongan sejarah kuku besi


PELANCONG Jepun ini bertafakur untuk memberi penghormatan kepada lebih 9,000 mangsa yang terkorban di kem pembunuhan.

SELAMAT datang ke bandar Anlong Veng yang merupakan bekas kubu kuat Khmer Rouge. Kini, ia menjadi salah satu destinasi yang harus dilawati pelancong sekiranya berkunjung ke Kemboja yang pernah dilanda tragedi berdarah suatu ketika dahulu.

Antara tumpuan di situ adalah timbunan botol yang membentuk ruang segi empat dan berbumbung bagi menandakan tempat mayat pemimpin Pol Pot, Khmer Rouge dibakar pada tahun 1998.

Terdapat satu papan tanda yang tertulis 'Sila Hulurkan Bantuan Untuk Mengekalkan Tapak Bersejarah Ini'. Seorang pelancong tempatan, Pov Dara, 27, merenung sejenak akan nota itu dan berfikir tentang kaitan kubur tersebut kepada negaranya.

"Perasaan sedih ini bukan untuk Khmer Rouge, tetapi khas untuk rakyat Kemboja yang sengsara ketika itu," katanya.

Lebih dua juta penduduk Kemboja mati kerana bebanan kerja yang berlebihan dan kebuluran ketika era pemerintahan Khmer Rouge yang diketuai oleh Pol Pot. Pemerintah kuku besi itu mahu menjadikan negara tersebut sebagai sebuah negara komunis pada lewat tahun 1970-an.

Hari ini, tempat pembakaran mayat Pol Pot merupakan salah satu daripada 14 tempat di bahagian utara Kemboja iaitu Anlong Veng yang dibangunkan sebagai lokasi pelancongan.

Tempat-tempat pelancongan yang menarik di kawasan tersebut ialah kediaman lama pemimpin tersebut dan sebuah trak radio usang yang dahulunya menyiarkan segala propaganda Khmer Rouge.

Dalam kemiskinan Kemboja, negara tersebut tetap menjalankan aktiviti pembunuhan beramai-ramai ketika itu. Aktiviti penyeksaan dilakukan di pusat Tuol Sleng di Phnom Penh dan padang pembunuhan Choeung Ek. Lokasi itu hari ini menjadi tumpuan pelancong.

Penduduk tempatan merasakan tinggalan sejarah itu sebagai salah satu prospek yang menguntungkan.

Sehingga kini, Kementerian Pelancongan Kemboja telah bekerjasama dengan Pusat Dokumentasi Kemboja untuk menjejak kekejaman Khmer Rouge.

"Pusat tersebut menerbitkan buku panduan yang menunjukkan realiti kehidupan penduduk ketika itu. Pemandu pelancong turut memberikan maklumat mengenai keadaan dan peristiwa yang pernah berlaku semasa kejatuhan rejim Khmer Rouge," kata Pengarah Kumpulannya, Youk Chhang.

Menurutnya, mereka tidak akan melupakan segala tragedi hitam yang telah melanda negaranya.

Pembunuhan beramai-ramai

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tinggalan sejarah di Anlong Veng memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Rejim Khmer Rouge telah digulingkan oleh tentera Vietnam pada tahun 1979 walaupun ketua rejim tersebut dan penyokongnya berusaha melancarkan perang gerila untuk melawan kerajaan pada masa itu.

Satu tempat yang harus dikunjungi oleh pelancong di bandar tersebut ialah sebuah rumah yang terletak di tepi tasik. Dahulu, rumah tersebut menempatkan mendiang komander Ta Mok yang turut dikenali sebagai The Butcher.

Beliau digelar sedemikian kerana didakwa menjadi dalang dalam pembunuhan beramai-ramai secara kejam yang mengorbankan beribu-ribu nyawa. Ironinya, Ta Mok pada mulanya suka membantu penduduk tempatan dengan memberi jalan raya, jambatan, hospital dan sekolah.

Ta Mok merupakan pemberontak yang enggan menyerah dan membatalkan perjanjian dengan kerajaan selepas kematian Pol Pot. Beliau ditangkap beberapa tahun kemudian dan ditemui mati di dalam penjara pada tahun 2006 semasa menunggu perbicaraan mahkamah.

Selain tinggalan perabot yang merupakan hasil rompakannya satu ketika dahulu, beberapa bahagian dinding di dalam rumahnya kini boleh dikunjungi. Hiasan mural mengenai kuil dan peta Kemboja berwarna-warni yang mempamerkan semangat Ta Mok juga boleh disaksikan.

"Diharap kehadiran pelancong ke sini mampu meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan yang menyara hidup dengan bertani. Penduduk di sini biasanya menjual buah mangga atau belimbing kepada pelancong," ujar penjaga rumah tersebut, San Roeung, 60.

Nhem En merupakan ketua jurugambar di Tuol Sleng yang telah menangkap gambar tahanan yang menunggu kematian.

Pasukan dalaman Khmer Rouge telah berpaling tadah pada pertengahan tahun 1990-an dan Nhem Em telah membina galeri gambar serta koleksi pelik yang memaparkan selipar milik Pol Pot, pakaian seragam beliau dan kerusi tandas miliknya yang telah hancur.

Muzium Pol Pot

Galeri gambar tersebut merupakan antara tempat yang harus dikunjungi oleh pelancong sekiranya berkunjung ke daerah Anlong Veng.

Kini beliau sedang mencari rakan kongsi untuk membantunya untuk menubuhkan muzium untuk pameran segala khazanah milik Pol Pot.

Menurutnya, idea menjual barangan tersebut mampu untuk mendapat pendapatan mencecah ratusan ribu dollar.

"Barangan ini mungkin tidak mempunyai nilai kewangan, tetapi nilainya sejarahnya amat tinggi.

"Sekiranya kamera ini diletakkan di dalam muzium, saya akan memanggilnya kamera pembunuh," ujarnya sambil memegang kamera lama Rolleicord.

Nhem En menegaskan bahawa dia tidak membantu banduan dan apa yang beliau lakukan hanya mengikut arahan dan ini merupakan halnya sendiri.

Tempat lain yang telah berjaya menarik jutaan pelancong setahun ke negara tersebut ialah kuil purba Angkor yang mengambil masa selama dua jam perjalanan itu.

Nhem En percaya bahawa sekiranya pengunjung yang hadir ke Anglong Veng bertambah, daerah tersebut pasti mendapat pelbagai keuntungan dengan lambakan rumah tumpangan dan restoran.

"Anglong Veng akan terus maju. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk memberi kefahaman kepada dunia mengenai rejim Khmer Rouge," katanya. - AFP


Sumber :- Kosmo Online