Showing posts with label Kembar. Show all posts
Showing posts with label Kembar. Show all posts

Wednesday, July 11, 2012

Lembu beranak dua

A. Ghani melihat anak lembu jantan kembar yang dilahirkan
Sabtu lalu oleh salah seekor lembu betina dipeliharaannya
di Kampung Tok Gebok.
KAMPUNG TOK GEBOK - Lembu beranak dua. Ia mungkin bukan perkara biasa, namun keadaan itu amat jarang berlaku dan kerana itulah, komuniti di sini gempar apabila seekor lembu dipelihara seorang datuk 22 cucu, beranak kembar dua Sabtu lalu.

Tambah mengejutkan pemiliknya, A Ghani Muhammad, 74, kejadian itu pertama kali dihadapinya biarpun mula memelihara lembu sejak usianya belasan tahun
lagi dan sudah ada individu menawarkannya RM3,000 untuk membeli pasangan anak lembu jantan kembar dan ‘ibu’nya itu.

Menurut A Ghani, ia juga menjawab segala tanda tanya dia sekeluarga setelah mendapati perut lembu betina peliharaannya itu terlalu bunting sewaktu haiwan berkenaan ‘pulang’ seekor ke rumah secara tiba-tiba sekitar tiga minggu lalu.

“Pakcik mempunyai hampir 20 lembu dan dilepaskan di kawasan hutan berhampiran. Kebiasaannya, haiwan ini bergerak secara berkumpulan. Namun, pakcik terkejut apabila mendapati salah seekor lembu betina dipelihara pulang.

“Mulanya pakcik terfikir mungkin haiwan ini ingin beranak di belakang rumah kerana melihat keadaannya bunting. Malah, pakcik juga tertanya-tanya kenapa perut
lembu betina ini terlalu buncit bukan sebagaimana lembu-lembu betina yang lain ketika bunting," katanya.

Menurutnya, segalanya terjawab pagi Ahad lalu apabila dia mendapati haiwan itu beranak kembar dua.

"Petang Sabtu lalu kira-kira jam 5 petang, ketika pergi ke belakang rumah, pakcik dapati lembu ini sudahpun beranak tetapi hanya melihat seekor sahaja anaknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk memindahkan lembu betina dan seekor anak lembu itu ke dalam kandang kira-kira 50 meter dari tempat itu, tanpa menyedari terdapat seekor lagi anak lembu.

“Malam itu, lembu betina tersebut asyik berbunyi dan pakcik fikirkan ia mungkin disebabkan haiwan ini baru beranak. Keesokannya iaitu kira-kira jam 9 pagi, sebaik membuka pagar kandang, lembu betina ini terus meluru ke lokasinya beranak.

“Pakcik terkejut melihat ada seekor anak lembu meluru ke arah lembu betina ini. Ketika itulah baru menyedari haiwan ini beranak kembar dua dan ia benar-benar mengejutkan pakcik yang sudah sekian lama memelihara lembu ini. Setiap seekor dianggarkan seberat 20 kilogram," katanya.

Menurutnya, walaupun sudah ada tawaran untuk membeli lembu betina dan anak lembu kembar ini, namun buat masa ini dia tidak bercadang menjualnya.

"Sebaliknya, pakcik berhasrat memeliharanya untuk disembelih bagi adakan kenduri di rumah ini,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

Monday, July 9, 2012

Dua kelapa kongsi tangkai

Ramlee menunjukkan kelapa muda dibeli pelik kerana
dua biji di satu tangkai.

GUA MUSANG - Mungkin jarang ditemui, dua kelapa berkongsi satu tangkai. Namun itu penemuan pelik penjual air kelapa muda, Ramlee Mohamed, 41, di Kampung Kolam Emas, dekat sini, kelmarin.

Menurut Ramlee, kelapa muda itu dibeli daripada peniaga kelapa muda dua hari lalu dan tidak menyangka daripada lima kelapa muda dibeli, dua didapati kembar.

“Sebaik mendapati kelapa muda itu pelik kerana dua biji pada satu tangkai.

"Jadi saya simpan dahulu di rumah sementara menghabiskan kelapa lain dahulu untuk dijual airnya,” katanya.

Beliau berkata, sejak berniaga menjual air kelapa muda lima tahun lalu, inilah kali pertama menemui kejadian sebegitu dan kebiasaannya satu tangkai hanya sebiji kelapa.

“Saya kerap menemui perkara pelik sejak berniaga air kelapa muda dan tebu. Sebelum ini tebu yang ditanam hingga melebihi tujuh meter,’ katanya.

Sumber :- Sinar Harian

Sunday, April 1, 2012

Kembar berbeza warna kulit, anak mata

LONDON - Seorang berkulit cerah, seorang lagi berkulit sawo matang dan sepasang anak mata yang berlainan warna.

Mereka mungkin berkongsi senyuman manis, tetapi sekali pandang, pasangan kembar tujuh tahun itu begitu berbeza sekali.

Sewaktu dilahirkan, Kian dan Remme hanya berbeza warna rambut, namun langsung tidak menunjukkan sebarang perbezaan warna kulit dan anak mata.

Ibu mereka, Kylee Hodgson dan bapa, Remi Horder memberitahu, lama-kelamaan kulit Kian berubah kepada sawo matang termasuk anak matanya daripada berwarna kebiru-biruan kepada hitam pekat.

“Bagi saya mereka merupakan kanak-kanak yang normal dan kembar saya ini memiliki mata yang cantik,” kata Kylee, 25.

Pasangan suami isteri itu mengakui memiliki genetik keluarga campur iaitu kulit putih dan hitam.

“Ramai bertanya kepada saya mengapa pakaian mereka serupa? Jawapannya, mereka ini adalah kembar. Pada mulanya ia agak menjengkelkan tetapi masyarakat mula menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Sumber : - Sinar Harian

Wednesday, January 25, 2012

Buah nanas kembar

MELAKA TENGAH - Seorang penduduk terkejut apabila pokok nanas dari jenis Sarawak yang ditanamnya bersama jiran bersifat ganjil apabila mengeluar buah kembar sehingga melebihi 10 biji satu pokok.

Amin Jamal, 66, dari Kampung Pernu, di sini berkata, dia mula menanam pokok berkenaan selepas memikirkan bersama jirannya jenis tanaman yang sesuai dan mudah dijaga, kira-kira dua tahun lalu.

Dia akhirnya membuat keputusan untuk menanam nanas Sarawak dan sehingga kini terdapat lebih 20 pokok di halaman rumahnya serta sudah merasai buah berkenaan bersama jiran-jiran.

“Setakat ini sudah tiga musim kami bersama jiran-jiran merasai buah nanas berkenaan tetapi tidak sangka buah nanas kali ini agak berlainan daripada ke­biasaannya.

“Saya memang tidak pernah menemui buah nanas sebegini rupa, malah saudara-mara yang berkunjung juga berkata mereka tidak pernah menemui buah serupa ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, semalam.

Menurut Amin, dia mula menyedari keadaan rupa buah nanas itu sejak sebulan lalu dan memberitahu kejadian aneh itu kepada anak-anak dan isterinya.

“Saya bercadang sekiranya buah ini sudah cukup masak, akan membahagikan dengan jiran lain supaya semua dapat merasai nikmat pemberiaan ALLAH SWT ini,” katanya.

Sumber - Sinar Harian