Friday, January 13, 2012

Malaysia bakal jadi pengeluar kondom

NEW DELHI 13 Jan. — Malaysia kini di ambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia pada tahun ini, dengan meninggalkan Thailand di belakang sebagai peneraju pasaran, demikian menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

MREPC berkata, Malaysia kini menguasai satu pertiga daripada pengeluaran dunia dengan mudah melepasi paras satu bilion.

"Kita boleh menjadi pengeluar nombor satu dunia tahun ini berikutan banjir di Thailand. Angka pengeluaran tahun lepas boleh melepasi angka satu bilion kondom," kata Pengarah Pemasaran dan Pembanguan majlis itu, Low Yoke Kiew.

Pada 2010, Malaysia, pengeluar getah asli keempat terbesar dunia, telah mengeksport sarung kontraseptif bernilai hampir RM300 juta, iaitu hampir tiga kali nilai eksport pada 2005.

Pengeluar utama Asia — Thailand, China, India, Jepun dan Malaysia — terus membanjiri pasaran global dengan jumlah lebih 10 bilion keping, yang dijual di dalam pelbagai warna, walaupun di negara yang konservatif seperti India.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggalakkan pengguna kondom berikutan kesedaran terhadap kesihatan.

Di China, lebih dua bilion kondom dijual, di Jepun terjual 580 juta setahun manakala pengeluaran India telah melepasi satu bilion keping.

"Kondom Malaysia mendapat permintaan yang baik dan kompetitif. Kami kini banyak membekalkan kepada program PBB. Kita menjangka pertumbuhan yang baik bagi kesemua produk lateks kita tahun ini, yang termasuk kondom," kata Low.

Pengeluar kondom bergantung kepada getah asli kerana lebih 90 peratus daripada sarung kontraseptif itu dibuat menggunakan lateks manakala usus biri-biri adalah satu lagi bahan yang digunakan di dalam industri itu.

Kondom getah yang pertama dikeluarkan pada 1855, yang mempunyai ketebalan tiub dalam tayar basikal tetapi perkembangan teknologi telah menjadikannya lebih murah, ringan nipis dan berpelincir. - BERNAMA

Askar AS kencing mayat militan Taliban

Gambar yang dipetik daripada video tidak bertarikh dalam YouTube menunjukkan tentera Marin AS kencing ke atas mayat militan Taliban di Afghanistan. - REUTERS


WASHINGTON 12 Jan. - Kor Marin Amerika Syarikat (AS) akan melancarkan siasatan berhubung satu rakaman video yang menunjukkan askar AS di Afghanistan dipercayai membuang air kecil ke atas mayat pejuang Taliban yang disiarkan di YouTube dan laman web lain.

Dalam video itu, empat lelaki berpakaian seragam tempur celorong-celoreng kelihatan membuang air kecil ke atas mayat tiga pejuang Taliban.

Seorang daripada mereka secara bergurau berkata, 'selamat jalan, kawan', manakala seorang lagi membuat jenaka lucah mengenai mandi di bawah pancuran.

Rakaman video itu boleh disaksikan di http://www.youtube.com/watch?v-TMq3m-Oli4

"Walaupun kami belum mengesahkan asal-usul atau kesahihan video itu, tindakan yang ditunjukkan tidak selaras dengan prinsip-prinsip utama kami dan tidak menggambarkan keperibadian askar Marin dalam Kor kami.

"Perkara ini akan disiasat secara terperinci," menurut Kor Marin dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai tentera yang enggan disiarkan namanya berkata, topi dan senjata yang dibawa oleh seorang askar itu menunjukkan mereka berempat mungkin anggota sepasukan penembak tepat elit.

Sebuah pertubuhan hak-hak sivil Islam di AS dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta mengutuk perbuatan mencemarkan mayat itu.

"Mana-mana pihak bersalah mesti dihukum sekeras-kerasnya di bawah Kanun Seragam Kehakiman Tentera dan di bawah undang-undang Amerika yang relevan," menurut Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) dalam sepucuk surat, yang salinannya dihantar kepada beberapa pertubuhan media.

Kira-kira 20,000 askar marin AS ditempatkan di Afghanistan, kebanyakannya di wilayah Kandahar dan Helmand di selatan negara itu. - REUTERS

p/s - pautan youtube telah dipadam mungkin untuk menutup kelemahan pentadbiran tentera AS
sumber - Utusan Malaysia Online - Luar Negara