Monday, March 5, 2012

Bandaraya mesra basikal

KL ikut jejak Putrajaya menerusi penyediaan pelbagai kemudahan



SEKUMPULAN skyrunner menunjukkan aksi berani pada Acara Berbasikal Wilayah Persekutuan 2012 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam. Skyrunner sejenis permainan yang membolehkan seseorang melakukan aksi lompatan tinggi sambil mempamerkan beberapa gaya termasuk aksi akrobatik dengan diiringi muzik.

 
KUALA LUMPUR: Bandar raya Kuala Lumpur akan mengikut jejak langkah Putrajaya menjadi kawasan mesra basikal menerusi penyediaan pelbagai kemudahan untuk penunggang basikal dalam masa terdekat.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perbincangan mengenainya sedang dijalankan dengan mengambil kira beberapa faktor terutama keselamatan sebelum ia dilaksanakan.

“KL (Kuala Lumpur) banyak kawasan yang perlu diubahsuai, tidak semua kawasan mesra basikal, takut ada kemalangan, perlu fikir pengguna trafik yang lain juga, " katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berbasikal 'Fun Ride' sempena Hari Wilayah 2012 anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pergerakan Pemuda Umno di sini, semalam.

Seramai 900 pengayuh basikal pelbagai bangsa dan usia menyertai program itu berkayuh sejauh 12.5 kilometer bermula dari Kompleks Kraf Jalan Conlay, bermula jam 8.30 pagi sehingga ke Hotel Equatorial Kuala Lumpur sebelum kembali semula ke lokasi pelepasan, kira-kira satu setengah jam kemudian.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi SHEB, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata, pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengambil pelbagai langkah dalam memberi lebih ruang kepada pejalan kaki dan penunggang basikal di dalam bandar.
“Untuk pejalan kaki kita sedang sediakan walkway dan untuk yang berbasikal apabila selesai projek menghubungkan taman-taman di sekitar KL ini, ia akan (lebih) galakkan aktiviti berbasikal, " katanya.

Mengenai bandar mesra-basikal Putrajaya, katanya, kerajaan akan membina stesen basikal di Putrajaya dalam tempoh terdekat bagi memudahkan orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara menggunakan pengangkutan itu untuk bergerak di sekitar kawasan berkenaan. 

Berita Harian - 5 Mac 2012