Dilahirkan sebagai anak kembar membuat Ganga dan Jamuna Mondal saling
bergantung antara satu sama lain, apalagi keadaan tubuh mereka tidak
seperti bayi kembar lain yang lahir normal.
Ganga dan Jamuna lahir dengan hanya memiliki satu badan. Mereka hidup
berdampingan selama 39 tahun dan memiliki dua tangan serta dikurniakan
tiga kaki.
Dengan begitu keadaannya, jika kedua-duanya berjalan,
maka mereka seperti labah-labah kerana berjalan menggunakan
keempat-empat tangan dan kedua-dua kaki. Walau bagaimanapun, keadaan
tersebut tidak membuat pasangan yang lahir di West Bengal, India, ini
terus menangisi keadaannya akan tetapi mereka turut sama membantu
mencari nafkah untuk keluarga.
Daripada apa yang diketahui, mereka memanfaatkan kecacatan tersebut
untuk bermain sarkas dan menggelarkan diri mereka sebagai "The Spider
Sisters" atau "Labah-Labah Bersaudara".
Mereka berada di pentas
hiburan selama lima jam dalam satu malam dan daripada pertunjukan sarkas
tersebut, mereka mampu mengumpulkan wang sekitar RM150. Hasil
pendapatan tersebut cukup untuk menampung keperluan seluruh keluarga
mereka yang berjumlah 22 orang selama empat malam. “Orang sering memerhatikan kami. Mereka fikir kami aneh,” ujar Jamuna.
Ketika lahir 39 tahun silam, bidan yang menguruskan persalinan ibu
mereka jatuh pengsan kerana terkejut melihat keadaan bayi yang
dilahirkan. Menurut doktor yang kemudian memeriksa mereka, Ganga dan
Jamuna disatukan di bahagian pinggul.
Seorang daripada mereka
memiliki badan bahagian atas yang normal dan satu kaki yang masih
berfungsi manakala dua kaki lainnya mengering dan lemah serta mempunyai
sembilan jari kaki.

“Kami akan hidup seperti yang telah diciptakan Tuhan,” ungkap Ganga.