Showing posts with label Album Global. Show all posts
Showing posts with label Album Global. Show all posts

Saturday, September 1, 2012

Pemain ular tedung


Pelancong akan memenuhi Bishnupur pada setiap bulan Ogos untuk menyaksikan pertunjukan ular secara besar-besaran dalam Festival Jhapan.

Sebaik seruling ditiup, ular tedung dikatakan
akan menari mengikut alunan irama seruling itu.


Pemain ular boleh kita temui di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Namun, anda pasti tidak dapat menafikan tiada siapa yang boleh menandingi pemain dan penjinak ular yang terdapat di India. Di negara itu, pemain ularnya bukanlah calang-calang. Hal ini kerana mereka bukan melakukannya hanya sekadar hobi atau mengisi masa lapang.

Diangggap sebagai dewa dalam kepercayaan masyarakat Hindu, pemain ular melakukannya sebagai satu ritual.

Oleh kerana itulah, pelbagai festival diadakan untuk meraikan dewa-dewa tersebut di India.

Salah satu sambutan terbesar ialah Festival Jhapan yang didedikasikan untuk Dewa Manasha. Ia merupakan salah satu perayaan utama di wilayah Bishnupur apabila ribuan penduduknya akan keluar untuk membaca mantera bagi Dewa Manasha selain melihat pertunjukan ular.

Seekor ular tedung dewasa yang pasti menimbul
rasa gerun sesiapa sahaja saat melihatnya.



 
Pertunjukan ular di sana sangat unik dan menjadi tradisi sejak ratusan tahun. Ribuan pemain ular akan keluar berkumpul di kuil-kuil sambil di tangan masing-masing membawa bakul diperbuat daripada rotan atau buluh serta seruling.

Isi dalam bakul tersebutlah terletaknya kehebatan seseorang pemain ular.

Hal ini kerana kebiasaanya seekor ular tedung dewasa disimpan di dalam bekas tersebut.

Sebaik penutup bakul dibuka, seraya itu juga pemain ular akan meniup seruling. Seekor ular tedung yang biasanya akan bangun perlahan dan menari mengikut iraman tiupan seruling tuannya.

Ular tersebut dikatakan seperti terpukau dengan alunan seruling itu, sehingga menari dan mengembangkan kepalanya tanpa meninggalkan bakul atau mematuk pemain ular.

Pesta bermain ular tedung itu biasanya berlangsung seharian sepanjang festival.

Festival tersebut juga dikatakan bertujuan memohon doa daripada Dewa Manasha untuk memberikan kesuburan tanah di wilayah tersebut kerana kebanyakannya penduduknya menyara hidup dengan bercucuk tanam.

Sumber - Kosmo! Online - Rencana Utama

Wednesday, August 8, 2012

Muzium minyak wangi terbaik dunia


KUASA minyak wangi pada zaman dahulu lebih kepada spiritual.
“Di sinilah tersimpannya warisan kebanggaan kami, tempat koleksi haruman chypre dari tahun 1917,” ujar Yves Tanguy, pemegang kunci bilik bawah tanah itu sambil mencelup kertas keras ke dalam bebuli minyak wangi yang merupakan satu antara ribuan khazanah unik di muzium minyak wangi di Paris, Perancis itu.

Haruman zaman dahulu ciptaan Francois Coty yang masyhur pada eranya bersama wangian abad ke-14, Water of the Queen of Hungary dan air dakelom (water cologne) yang digunakan Napoleon Bonaparte ketika berada dalam buangan di Saint Helena pada tahun 1815 juga boleh ditemui di Muzium Osmotheque.

Gabungan perkataan Yunani, osme yang bermaksud wangian dan theke bererti dada membentuk Osmotheque yang ditubuhkan oleh Jean Kerleo dan dipengerusikan oleh Patricia de Nicolai. Kerleo merupakan bekas pencipta minyak wangi di Patou, manakala Nicolai ialah waris kepada rumah minyak wangi terkemuka Guerlain.

Hanya individu terpilih mempunyai akses untuk masuk ke bilik persendirian yang memuatkan kira-kira 2,500 minyak wangi paling jarang ditemui.

Setiap minyak wangi di muzium itu dikelaskan mengikut nombor dan jenis. Botol-botol haruman pula disimpan di sebalik pintu bertetulang di dalam bilik bawah tanah berkeluasan beberapa meter persegi. Cahaya buatan dan suhu stabil 13 darjah celsius mengekalkan kualiti minyak wangi tersebut.

“Kesemua haruman ini adalah permata kami. Hampir 400 haruman yang kami lindungi merupakan wangian daripada masa lampau atau yang tidak lagi ada dalam pasaran.

“Kami mencipta semula 175 minyak wangian menggunakan formula asli. Wangian yang dikembalikan termasuk haruman Barat berasaskan alkohol pertama di dunia menggunakan rosemary iaitu Water of the Queen of Hungary. Ia pertama kali dihasilkan pada tahun 1370 menggunakan teknik penyulingan yang dipelajari daripada orang Arab,” jelas Tanguy.

ORANG awam berpeluang melihat pameran minyak wangi dan mendengar penerangan mengikut topik yang menarik pada waktu tertentu.
Pada waktu dahulu, minyak wangi dicipta untuk memabukkan si pemakai. Terdapat kisah mengatakan ia memiliki kuasa penawar bagi mengembalikan keremajaan seorang permaisuri sehingga membolehkan beliau dilamar dan berkahwin dengan Raja Poland pada usia 75 tahun.

Napoleon Bonaparte pula dipercayai memerlukan 120 liter minyak wangi setiap bulan. Beliau menggosok haruman pada tubuhnya dan menyimpan botol wangian itu di dalam butnya.

Selepas dibuang negeri ke pulau Atlantik di Saint Helena pada penghujung riwayatnya, Bonaparte memohon preskripsi untuk membuat dakelom menggunakan herba-herba di pulau tersebut. Kesemua ciptaan Bonaparte kini juga dihasilkan semula dan disimpan di Osmotheque.

Minyak wangi di muzium itu bukan untuk dijual dan kesemua 200 bekas sentiasa berisi sampel-sampel yang dibawa Kerleo dan Tanguy dari serata dunia. Ia merupakan hasil pemberian rumah-rumah minyak wangi mewah dan pencipta haruman itu sendiri.

Pada waktu tertentu, Osmotheque dibuka kepada orang awam bagi mengikuti ceramah dan penerangan tentang minyak wangi pada era tertentu yang ditetapkan berdasarkan tema.

Bagi menguruskan muzium tersebut, Kerleo telah mengumpulkan pangkalan data olfaktori bersama-sama sekumpulan pakar minyak wangi. Kumpulan tersebut ditugaskan untuk mengenal pasti formula haruman purba dan ramuan wangian yang jarang ditemui atau kini diharamkan penggunaannya.

Sebagai contoh, bendalir seperti musk yang dihasilkan daripada kelenjar perineum musang Afrika. Esen mamalia seperti kucing yang mula digunakan dalam dunia minyak wangi lebih 2,000 tahun dahulu itu kini tidak lagi dibenarkan.

MINYAK wangi yang telah pupus sejak berabad lama dicipta semula dan disimpan di muzium ini.

Bijian musk Tibet yang diambil daripada kelenjar kijang jantan kasturi (musk deer) juga kini diharamkan selepas diumumkan di persidangan perdagangan antarabangsa dalam kategori spesies terancam.

Menurut Kerleo, tanpa bijian itu tiada minyak wangi hebat Chanel dapat dihasilkan.

Kedua-dua pati bersejarah tersebut disimpan dengan selamat di bilik bawah tanah Osmotheque. Bahagian atas muzium pula menempatkan barisan botol-botol wangian berserta ramuan-ramuan menyerupai bentuk organ (alat muzik).

“Ini merupakan papan kekunci pakar minyak wangi,” ujar Kerleo sambil menunjukkan botol-botol yang disimpan sebaris dengan rak berlubang kecil berisi lumut oak, halia, kemenyan harum atau herba pokok nilam. – AFP


Monday, July 23, 2012

Budak makan bilik tidur

RACHEL dan anaknya, Zach. Keadaan plaster bilik yang dimakan Zach (gambar kecil).

SALFORD: Ibu kanak-kanak yang menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia tidak boleh menolak untuk makan apa saja yang berada di bilik tidurnya, merayu bantuan untuk membiayai sebuah bilik yang ‘boleh dimakan’ oleh kanak-kanak itu.

Zach Tahir yang menghidap Kecelaruan Selera Makan, memakan apa saja yang terdapat di bilik tidurnya, termasuk permaidani dan plaster. Ibu kanak-kanak berusia lima tahun itu, Rachel, yang tinggal di Salford, melancarkan kempen untuk membina sebuah bilik selamat untuknya selepas semakin bimbang mengenai keadaan anaknya.

Matlamat kempen mengutip derma ‘Beri Zach Masa Depan Yang Selamat’ ialah untuk membantu membina sebuah bilik khas berharga  15,000 (RM75,000) di kediaman keluarga itu di The Mead, Weaste.

Bilik itu akan dilengkapi dengan tilam dan bilik air khas untuk Zach yang juga autistik dan tidak boleh bercakap.

Kempen itu yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan disokong oleh beberapa bintang televisyen seperti Kum Marsh dan Ryan Thomas, pelakon siri Coronation Street dan aktor siri Torchwood, Paul Copley.

Rachel, 32, yang juga mempunyai anak perempuan berusia dua tahun berkata, dia terharu dengan sokongan itu.

‘Kempen itu kini mendapat sambutan. Sokongan daripada bintang Coronation Street banyak membantu kempen itu,” kata Rachel.

Selain membina bilik baru di rumah mereka, Rachel juga berharap dapat memasang kamera untuk membolehkannya mengawasi anaknya ketika malam, ketika tabiatnya itu berada di peringkat paling buruk.

Setakat ini,  3,400 (RM17,000) sudahpun berjaya dikumpul, termasuk menerusi tajaan jalan kaki dan jualan murah.

Satu lagi tajaan acara jalan kaki sejauh lapan kilometer dari Selfridges di Trafford Centre ke Exchange Square di bandar Manchester akan diadakan Ahad ini. - DM




Sumber - myMetro - 23/07/2012

Thursday, July 19, 2012

Syiling emas berusia 1,000 tahun


Syiling emas berusia 1,000 tahun yang ditemui di dalam sebuah mangkuk seramik oleh arkeologi di pamerkan di Muzium Arsuf, Tel Avic, baru-baru ini.

Syiling emas itu dilapurkan ditemui di lokasi Perang Salib yang berlaku di antara pejuang Islam dan tentera Kristian kira-kira 1,000 tahun lalu.

Syiling emas itu yang mempunyai nilai tinggi, dikeluarkan pada tahun 1265 dan disangka ditanam - sebenarnya disembunyikan dalam sebuah tempayan pecah bagi mengelakkan ia ditemui.


Sunday, May 27, 2012

Pelukis masak dan saji kemaluan

Mao Sugiyama (kanan) menyediakan masakan kemaluannya untuk lima tetamu.

TOKYO: Seorang lelaki menjalani pembedahan membuang kemaluannya sebelum memasak senjata sulitnya itu dan menyajikannya kepada lima tetamu.

Mao Sugiyama, 22, lelaki aseksual, secara sukarela menjalani pembedahan untuk membuang kemaluannya.

Bagaimanapun, pelukis ilustrasi itu membawa pulang kemaluan dan buah zakarnya dari hospital dan mengadakan parti. Dia mengenakan bayaran sebanyak RM640 terhadap setiap tetamu untuk memakan kemaluannya yang dihiasi dengan cendawan dan daun parsli di Tokyo.

Sebelum menikmati makanan itu, tetamu duduk untuk mendengar mainan piano dan mengambil bahagian dalam satu perbincangan, lapor CalorieLab.com.

Sugiyama memasak sendiri kemaluannya dengan dipantau seorang chef. Dia menawar untuk berbuat demikian dalam laman Twitternya kepada seorang tetamu dengan mengenakan bayaran sebanyak RM4,000 tetapi kemudian mengambil keputusan membahagi-bahagikan ‘makanan’ itu kepada lima tetamu.

“Saya menawarkan kemaluan saya (zakar, buah zakar dan kantung zakar) untuk dimakan dengan harga 100,000 yen (RM4,000). Saya warga Jepun.

“Saya menjalani pembedahan untuk membuang organ itu. Saya disahkan bebas daripada sebarang penyakit kelamin. Organ itu berfungsi normal dan saya tidak pernah menjalani rawatan hormon wanita.

“Pembeli pertama yang berminat akan memperolehnya. Saya juga bersedia menjualnya kepada sekumpulan pembeli. Saya akan memasak seperti yang dikehendaki pembeli di lokasi yang dipilih mereka. Jika ada soalan, sila hubungi saya menerusi e-mel,” tulisnya dalam laman Twitter.

Kira-kira 70 orang hadir pada acara itu yang diadakan di daerah Suginami di Tokyo.

Ketika lima orang memakan kemaluan Sugiyama, yang lain makan daging lembu atau buaya.

Mereka yang memakan kemaluan itu ialah pasangan suami isteri berusia 30 tahun, seorang wanita 22 tahun, seorang lelaki 32 tahun dan perancang majlis, Shigenobu Matsuzawa, 29.

Sugiyama meminta tetamunya menandatangani surat yang menyatakan dia tidak akan didakwa sekiranya mereka sakit selepas memakan kemaluannya.

Penganjur parti itu berjenaka sebelum acara berkenaan dengan berkata, dia akan menyiarkan resipi masakan itu menerusi Internet.

CalorieLab.com memetik seorang tetamu sebagai berkata, kemaluan itu liat dan tidak mempunyai rasa.

Polis Suginami yang dihubungi enggan melakukan siasatan dengan alasan ia tidak melanggar undang-undang.

Sugiyama juga menjalani pembedahan membuang puting teteknya.

Selaku aseksual yang tidak berminat terhadap kegiatan seks, Sugiyama tidak akan menggantikan kemaluannya dengan kemaluan tiruan. - DM


Sebelum memasak, Sugiyama menunjukan kemaluannya
yang baru dikeluarkan dari peti sejuk
Kemaluan yang sedang dipotong.
Rupabentuk kemaluan selepas dimasak

Wednesday, May 23, 2012

Menara tertinggi di dunia mula dibuka

Skytree kini menjadi mercu tanda Jepun menggantikan menggantikan
menara Tokyo yang wujud sejak 1958
TOKYO: Menara tertinggi di dunia dan mercu tanda terbesar Jepun, Tokyo Skytree, dibuka kepada umum, semalam.

Hampir 8,000 pelawat dijangka menggunakan lif laju untuk tiba ke dek peninjau terletak di menara setinggi 634 meter itu bagi menandakan pembukaannya.

Sesetengah pelawat dilaporkan berbaris lebih seminggu untuk mendapatkan tiket ke situ walaupun cuaca Tokyo berawan semalam.

Skytree diiktiraf menara tertinggi mengatasi Menara Canton di China (600 meter).

Binaan tertinggi di dunia ketika ini ialah Burj Khalifa di Dubai (828 meter).

Skytree bertindak sebagai menara pemancar bagi televisyen dan radio, selain menjadi tarikan pelancong. - AP

Wednesday, April 18, 2012

Bayi berkaki enam

ISLAMABAD - Para doktor di hospital Pakistan kini bertungkus-lumus menyelamatkan bayi yang berkeadaan genetik luar biasa iaitu dilahirkan dengan enam kaki.

Pengarah Institut Kesihatan Kanak-kanak Kebangsaan Karachi, Jamal Raza berkata, bayi berumur tujuh hari itu adalah kembar berparasit di mana, kembar siamnya tidak sempat membesar dengan lengkap sehingga menyebabkan Umar Farooq memiliki dua pasang kaki tambahan.

Kata Raza, pihaknya kini merancang untuk melakukan pembedahan ke atas Farooq dan memerlukan bantuan pakar luar berpengalaman terhadap kes satu dalam sejuta itu.

“Pembedahan ini bukan perkara mudah kerana beberapa taksiran yang sesuai perlu diselesaikan terlebih dahulu. Perkembangan organ dalamannya harus dipantau untuk mengelak sebarang komplikasi terhadapnya,” kata Raza.


Sumber : - Sinar harian

Saturday, March 17, 2012

Ladang ternak bayi untuk tujuan komersial

SUASANA hening siang hari di sebuah klinik bersalin yang hanya memulakan kegiatannya pada waktu malam akhirnya mencetuskan tanda tanya penduduk sekitar Enugu.

Tanpa mereka sedari, premis berkenaan sebenarnya dijadikan lokasi rahsia bagi ‘menternak’ bayi untuk tujuan komersial.

Kegiatan haram itu hanya terbongkar baru-baru ini selepas polis melakukan serbuan ke atas rangkaian hospital dan klinik yang digelar ‘ladang bayi’ atau ‘kilang bayi’ di Nigeria.

Penemuan mengejutkan itu menurut media tempatan, memaksa pihak berkuasa memandang serius jenayah penyeludupan manusia di negara berkenaan.

Pada bulan lepas pula, seramai 20 remaja perempuan berjaya diselamatkan apabila polis menyerbu sebuah hospital di Enugu, iaitu sebuah bandar besar di tenggara Nigeria.

Banyak pihak tidak menyangka hospital yang sepatutnya menjadi tempat merawat dan menyelamat nyawa manusia itu sebenarnya berkerjasama dengan sindiket penyeludupan manusia terbesar di negara Afrika Barat itu.

Premis dua tingkat yang terletak berhampiran jalan raya di daerah Uwani, Enugu itu bagaimanapun tidak lagi beroperasi selepas rahsia mereka terbongkar.

Penduduk di kejiranan sekitarnya memberitahu akhbar tempatan bahawa mereka sudah lama merasakan sesuatu yang pelik mengenai premis tersebut.

Menurut mereka, hospital itu sunyi sepi pada siang hari seolah-olah tiada sebarang aktiviti dijalankan.

Doktor yang terbabit dengan kegiatan haram itu kini dibicarakan dan dia dilaporkan memancing remaja perempuan hamil anak luar nikah dengan menawarkan khidmat pengguguran.

Remaja-remaja malang itu kemudian dikurung di hospital itu sehingga bersalin di mana mereka dipaksa menyerahkan bayi masing-masing dengan bayaran sekitar AS$170 (RM600).

Menurut agensi kerajaan Nigeria, bayi-bayi tersebut kemudian dijual kepada pembeli pada harga berlipat kali ganda antara AS$2,500 dan AS$3,800 (RM8,988 dan RM13,660) setiap seorang.

Bagaimanapun, kejahatan doktor sakit puan berusia 50-an itu akhirnya terbongkar apabila seorang pembeli wanita ditangkap Perkhidmatan Keselamatan dan Pertahanan Awam Nigeria (NSCDS) ketika cuba menyeludup bayi tersebut ke bandar raya Lagos.

NSCDS menyatakan statistik berkaitan kegiatan ladang bayi itu sukar ditentukan tetapi percaya ia menular di serata Nigeria dan dijalankan oleh sindiket-sindiket profesional.
“Kami percaya kegiatan itu berleluasa dan lebih meluas daripada pengetahuan kami,” kata ketua Agensi Kebangsaan bagi Larangan Penyeludupan Manusia Nigeria (NAPTIP), Ijeoma Okoronkwo

“Operasi ‘ladang bayi’ sudah lama bertapak di Nigeria tanpa kami sedari. Petunjuk pertama yang kami dapat mengenai kegiatan itu ialah pada Disember 2006.

“Ketika itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan memberi amaran bahawa bayi-bayi ditukar dengan wang tunai dan kegiatan itu melibatkan banyak hospital,” tambahnya.

Sesetengah mangsa tinggal di hospital itu untuk selama tiga tahun dan dijadikan ‘kilang’ melahirkan anak.

Menurut Okoronkwo, modus operandi jenayah tersebut adalah pelbagai.

Satu cara katanya, adalah dengan menarik remaja perempuan yang mengandung anak luar nikah ke premis itu.

Mangsa-mangsa yang bimbang mereka akan dipinggirkan oleh masyarakat terpengaruh dengan janji manis sindiket tersebut dan akhirnya terpaksa menyerahkan bayi mereka.

Seorang mangsa berusia 18 tahun menceritakan dia dikurung selama seminggu di sebuah klinik di hospital itu sebelum diselamatkan oleh pihak polis.

“Sebaik sahaja saya berada di dalam klinik itu, saya diberi suntikan, saya pengsan dan apabila membuka mata saya sedar bahawa saya telah diperkosa,” kata mangsa yang hamil lima bulan ketika insiden itu berlaku.

Doktor berkenaan turut menampar mangsa apabila dia meminta untuk menelefon keluarganya.

Remaja itu, kemudian diheret ke sebuah bilik yang turut menempatkan 19 lagi mangsa sepertinya.

Menurut mangsa, doktor sama kemudian merogolnya sekali lagi pada keesokan hari.

Seminggu kemudian, polis menyerbu klinik tersebut.

“Apabila menyerbu hospital itu, kami menemui empat wanita yang berada di situ selama tiga tahun untuk ‘menternak’ bayi kerana terpaksa akibat kemiskinan,” kata polis.

Menurut polis, doktor itu mengundang remaja lelaki untuk mengandungkan mangsa-mangsa di premis tersebut.

Beberapa pemerhati berkata, bayi-bayi itu dibeli oleh pihak ketiga dan dibesarkan untuk menjadi buruh kanak-kanak, pelacur atau mangsa penderaan seksual.

Menurut mereka, penyeludupan manusia sukar dibendung kerana jenayah kejam itu amat menguntungkan di mana ia melibatkan pertukaran tunai mencecah berbilion-bilion dolar pada setiap tahun. – AFP

Saturday, March 3, 2012

16 maut kereta api bertembung di Poland


SZCZEKOCINY: Sekurang-kurangnya 16 penumpang maut manakala berpuluh yang lain dimasukkan ke hospital selepas dua kereta api bertembung di utara Poland, iaitu insiden terburuk dalam tempoh dua dekad. 

Nahas berlaku apabila sebuah kereta api yang dalam perjalanan ke selatan dari Warsaw merempuh kereta api lain yang dalam perjalanan ke utara di landasan sama di Szczekociny, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara. 

Nahas itu mengakibatkan kereta api berkenaan remuk dan penumpang tercampak dari tempat duduk mereka. 

Agensi berita Poland, PAP, melaporkan seorang wanita warga Amerika Syarikat antara yang terbunuh dalam kemalangan itu. Sementara itu, pegawai kecemasan berkata 57 penumpang, termasuk seorang yang parah, dimasukkan ke hospital. - AFP

Wednesday, February 29, 2012

Suatu pagi berkabus di Pusat Pasar Ikan, Myanmar

Seorang lelaki tua sedang menunggu pelanggan di atas kapal perdagangan se awal pagi di pusat pasaran ikan, bandar pelabuhan terbesar di Myanmar, Yangon pada hari Rabu, 29 Februari.

Sebuah bot sedang menunggu kabus reda semasa cuaca berkabus di Sungai Yangon Rabu, 29 Februari.

Monday, February 27, 2012

Lelaki terpendek di dunia

Dangi bergambar bersama sijil yang mengesahkan beliau sebagai lelaki paling pendek di dunia di Katmandu, Nepal
 
Kathmandu, Seorang lelaki berusia 72 tahun, Chandra Bahadur Dangi dari sebuah kampung terpencil di barat daya Nepal diiktiraf semalam sebagai lelaki paling pendek di dunia selepas ketinggiannya diukur oleh beberapa pegawai Guinness World Records.

Dangi setinggi 54.6 sentimeter (sm), 5.3sm lebih pendek daripada pemegang rekod sebelum ini, Junrey Balawing dari Filipina.

"Saya berasa amat gembira," kata Dangi kepada pemberita.

"Saya akan bekerja untuk mempromosikan negara saya ke seluruh dunia," tambahnya.

Dangi yang seberat 12 kilogram juga diisytiharkan sebagai manusia paling pendek pernah direkodkan sekali gus mengambil alih tempat Gul Mohammed yang setinggi 57sm sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1997 semasa berumur 40 tahun.

"Saya terus-menerus berasa takjub bahawa rekod ini terus dipecahkan," kata Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday dalam satu kenyataan selepas ketinggian Dangi diukur di sini.

Menurutnya, jika umur Dangi betul, dia akan menjadi individu paling tua yang memiliki rekod dalam sejarah 57 tahun Guinness World Records.

Dangi tinggal di daerah Dang, 350 kilometer dari sini.

Dia pernah menyatakan sudah terlalu tua untuk berkahwin tetapi masih berminat untuk mengembara ke negara-negara lain.

Beberapa pegawai Guinness World Records menyatakan mereka masih belum mengetahui punca yang menyebabkan Dangi menjadi pendek.

Dangi pernah menyatakan bahawa dia dijadikan bahan sarkas semasa muda oleh beberapa saudarannya.



Sumber - Berita Harian, 27hb. Feb. 2012

Misteri Penyakit Angguk

Sengsara...Anywar tidak boleh berjalan dan makan sendiri selepas diserang penyakit misteri

PATRICK ANYWAR, 14, yang tidak memakai seurat benang pun baring mengerekot di halaman rumahnya yang berdebu. Dia menggunakan seluruh kudratnya untuk merenung adik-adiknya yang yang leka bermain di depan rumah mereka di Uganda. 

Bagaimanapun tenaga dari tubuhnya yang kurus itu sangat terbatas. Selepas beberapa minit, kepalanya tertunduk sehingga dagunya menyentuh dada manakala badannya pula kelihatan tegang akibat sawan. 

Anywar adalah salah seorang daripada lebih 3,000 kanak-kanak di utara Uganda yang mengalami masalah misteri seperti itu - yang dipanggil penyakit angguk. 

Boleh dikatakan semua keluarga di kampung Tumangu mengalami penyakit misteri ini. 

Sudah bertahun-tahun saintis cuba mencari punca penyakit ini tetapi tidak berjaya dan menurut penduduk, penyakit angguk ini sudah mengorbankan beratus-ratus kanak-kanak. 

Apa yang mereka (saintis) tahu, penyakit misteri ini hanya berlaku pada kanak-kanak dan secara perlahan-lahan ia melemahkan badan pesakit dengan masalah sawan, membantutkan pertumbuhan, menjejaskan fungsi anggota tangan dan kaki, mengurangkan keupayaan mental dan kadangkala mengakibatkan kebuluran.

Penyakit ini sudah meragut abang Anywar, Wanton pada 2010. Ibu Anywar, Rugina Abwoyo, berkata dia tidak mampu melakukan apa-apa pada anak yang diserang penyakit angguk selain melihat dan reda melepaskan anaknya ‘pergi’.


“Sebelum ini, dia (Anywar) boleh berjalan dan berlari seperti kanak-kanak lain.

Tetapi kini dia hanya mampu baring. Perlu ada orang yang menemani dan menjaganya sepanjang masa. Penyakit ini sangat teruk, ia menyebabkan Anywar tidak boleh makan dan minum sendiri,” katanya.

Sambil berjalan meredah ladang sorghum atau betari (tumbuh-tumbuhan bijirin seperti pokok jagung), Joe Otto, sukarelawan kesihatan bercerita bagaimana penyakit angguk menyerang kanak-kanak Kampung Tumangu, yang terletak kira-kira 450 kilometer di utara Kampala, ibu negara Uganda.


“Tumangu didiami 780 penduduk dan di kampung ini saja ada 97 kes penyakit angguk. Boleh dikatakan semua keluarga mengalaminya,” kata Otto, 54.


Apabila bekalan ubat (yang hanya sekali sekala) tiba di pusat kesihatan tempatan yang terletak beberapa kilometer dari Tumangu, Otto terpaksa mengayuh basikal untuk mengambilnya sebelum diagihkan kepada pesakit. Pun begitu, Otto maklum, ubat berkenaan hanya memberi kelegaan sementara.


“Kami beri ubat seperti carbamazepine untuk epilepsi (yang menyebabkan sawan), tetapi penyakit ini sama sekali berbeza dengan epilepsi,” sambungnya lagi.


Apabila penyakit itu merebak ke seluruh kampung, ketakutan dan kebimbangan penduduk kampung mula berkurang. Malah mereka sudah boleh menerima kehadiran penyakit berkenaan.


“Kami beritahu penduduk bahawa pesakit yang meninggal dunia adalah mereka yang sudah sembuh. Mereka akhirnya terlepas daripada penyakit yang menyebabkan pelbagai penderitaan itu,” kata Otto dalam nada sedih.


Sehingga kini saintis masih berusaha mencari penawarnya. Sejak 2010, penyelidik daripada pelbagai bidang termasuk pakar epidemiologi, alam sekitar, neurologi, toksikologi dan psikiatri aktif melakukan pelbagai ujian.


Pakar ini cuba melihat kepada kemungkinan mengaitkan penyakit itu dengan semua perkara daripada parasit (yang menyebabkan kebutaan sungai) kepada kekurangan zat hinggalah kesan peperangan yang melanda utara Uganda selama beberapa dekad.


“Kami melihat daripada pelbagai aspek, tetapi malangnya masih belum jumpa apa-apa faktor risiko yang jelas. Kami masih melakukan kajian mencari ejen yang menyebabkan perkara ini berlaku,” kata Miriam Nanyunja, pegawai jabatan pencegahan dan kawalan penyakit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Kampala.


Selalunya hasil kajian akan mencetuskan lebih banyak persoalan. Saintis masih tidak tahu sama ada penyakit ini ada kaitan dengan ledakan penyakit yang lebih kurang sama di utara Sudan dan Tanzania.


Saintis juga giat berusaha untuk memahami dan mengetahui sama ada penyakit ini masih merebak atau sudah sampai ke kemuncaknya; dan mengapa ia hanya berlaku pada sesetengah komuniti saja.


Bulan lalu, selepas menerima banyak tekanan daripada pemerintah di kawasan yang mempunyai ramai pesakit, Kementerian Kesihatan Uganda melancarkan pelan kecemasan untuk cuba mengenal pasti dan mengawal penyakit.


Bagaimanapun Nanyunja berkata, sementara penyelidikan mencari punca dan penawar giat dilakukan, doktor hanya boleh memberi rawatan untuk mengurangkan gejala penyakit saja.


“Ada banyak penyakit yang kita rawat gejalanya saja, tanpa mengetahui punca sebenarnya,” kata Nanyunja.


Namun bagi Patrick Anywar, sebarang cubaan untuk mengekang atau merawat penyakitnya itu mungkin terlalu lewat.


“Kami berharap doktor berusaha lebih kuat untuk mencari rawatan penyakit ini.
Masa depan kami sudah musnah kerana terlalu ramai kanak-kanak yang sakit. Namun, kami tetap berharap ia akan dapat menyelamatkan anak-anak yang lebih kecil,” kata Abwoyo. - AFP

Petikan dari Harian Metro - 27 Febuari 2012

Sunday, February 26, 2012

Lukisan mampu raih lelongan RM120 juta

 
Sebuah lukisan karya pelukis terkemuka Amerika Syarikat, Roy Lichtenstein dijangka dijual pada harga AS$40 juta (RM120 juta) dalam satu lelongan yang akan diadakan pertengahan tahun ini. Lukisan yang dikenali sebagai Sleeping Girl itu hanya pernah dipamerkan kepada umum sekali.

Ia adalah siri beberapa lukisan gambar yang diilhamkan daripada buku komik yang dihasilkan oleh Lichtenstein pada 1960-an. Lukisan itu memaparkan gambar wajah wanita yang berambut perang muda dengan mata tertutup. Sleeping Girl yang diperolehi dari kediaman Beatrice dan Phillip Gersh di Los Angeles akan dilelong oleh firma lelongan Sotheby's pada 9 Mei ini.

Sebelum ini, lukisan Lichtenstein, I Can See the Whole Room! ... and There's Nobody in it! memecah rekod jualan dunia oleh pelukis kontemporari apabila berjaya dijual pada harga AS$43.2 juta (RM130 juta) November lalu. - AGENSI







Ukiran pokok misteri

Unik... ukiran ikan raja udang ini dianggap hasil seni paling hebat
PENDUDUK Knaresborough, Yorkshire Utara, baru-baru ini gempar apabila beberapa batang pokok di sekitar bandar berkenaan dihiasi ukiran misteri. Ukiran cantik dan penuh teliti itu menjadikan sebahagian pokok di Knaresborough bertukar wajah menjadi pelbagai imej, termasuk naga, burung dan hantu.

Beberapa penduduk setempat percaya, sekumpulan artis ala Banksy yang enggan dikenali, ‘menyerang’ bandar berkenaan. Banksy adalah nama samaran bagi seorang seniman dan aktivis politik yang berpangkalan di England dan giat melakukan pernyataan satira melalui grafiti.
Secara umum, penduduk Knaresborough kagum dengan ketelitian ukiran setinggi di antara tiga hingga tujuh meter itu. Menurut mereka, walaupun mungkin dianggap merosakkan tanaman, sebenarnya kemunculan ukiran itu membolehkan Knaresborough menjadi destinasi tarikan pelancong.

Sesetengah mereka berpendapat, penduduk Knaresborough wajar berterima kasih kepada pengukir yang bertanggungjawab mengubah pokok biasa itu menjadi arca luar biasa. Dengan kewujudan ukiran berkenaan, Knaresborough kini boleh berbangga kerana popularitinya sebaris dengan Gua Mother Shipton yang juga terletak di bandar berkenaan.

Sejak kemunculan arca itu dua bulan lalu, tiada sesiapa melihat pengukirnya meninggalkan sebarang kesan atau bayangan bagi membolehkan orang ramai mengetahui siapa melakukannya. Pengerusi Persatuan Sivik Knaresborough, Althea Farmer berkata, seluruh bandar itu bercakap mengenai kemunculan ukiran di pokok berkenaan. “Seorang daripada ahli persatuan ini melihat secara dekat ukiran itu. Katanya, ukiran terbaik adalah imej burung raja udang yang terbang menjunam bersama ikan di mulutnya,” katanya.

Menyedari kehalusan ukiran berkenaan, Althea yakin penciptanya mengambil masa lama untuk menyiapkannya. Setakat ini, kata Althea, tiada sesiapa tampil untuk mendedahkan maklumat pencipta ukiran berkenaan. “Ia memang misteri walaupun kemunculan imej berkenaan memberi publisiti baik kepada bandar ini. Misteri ini juga mungkin menjadi satu lagi sumber tarikan pelancong ke Knaresborough,” katanya.

Sementara itu, persatuan berkenaan dilaporkan cuba mengesan seniman yang bertanggungjawab di sebalik kemunculan imej berkenaan. Mereka juga menggesa seniman terbabit menghubungi persatuan itu untuk membolehkan misteri itu diselesaikan.

Althea berkata, mereka memang berminat mengetahui identiti seniman berkenaan. Katanya, hakikat tiada sesiapa tahu mengenainya menjadikan misteri Knaresborough itu seperti teka-teki lukisan Banksy. “Bagaimanapun, mereka sangat berbakat dan kami memang berharap seniman terbabit tampil,” katanya.


Tarikan .. antara ukiran luarbiasa di Knaresborough
Pelbagai .. pengukir misteri turut menghasilkan imej menakutkan



Sumber - Harian Metro, 26 Febuari 2012


Warna-warni



Pelajar mengenakan kostum warna warni ketika membuat persembahan untuk pesta "Pasinaya" di Manila. Menurut media tempatan, Pesta Pasinaya adalah pesta seni terbesar di Filifina yang melibatkan 5,000 artis dan 300 persembahan yang diadakan dalam sehari.






Jangan bunuh saya



Aktivis kumpulan Profauna memakai kostum penyu ketika menunjuk perasaan membantah perdagangan penyu secara haram di hadapan mahkamah Puputan Badung di Denpasar, Bali. Menurut aktivis, daging, telur, cengkerang dan cenderahati diperbuat daripada anggota penyu dijual secara berluasa di Indonesia.



Saturday, February 25, 2012

Jalan Paling Bahaya

Tahukah anda jalan paling bahaya di dunia ?. Jalan tersebut adalah sebatang jalan sepanjang 400 kilometer yang menghubungkan La Paz dengan Los Yungas, di Bolivia.

Jalanraya tersebut amat sempit untuk laluan kenderaan seperti bas kerana ia berliku-liku di lereng bukit.

Paras tertinggi jalanraya di kawasan tersebut ialah 4,0000 meter. - AFP


Wednesday, February 15, 2012

Kahwin pada hari Valentine

Beberapa pasangan di Vantanilla, Peru yang memilih untuk berkahwin dalam kolam pada Hari Valentine.




Perlumbaan Unta Antarabangsa ke-12

Unta yang ditunggang oleh robot mekanikal berlumba ke garisan penamat semasa Perlumbaan Unta Antarabangsa ke-12. 

Penunggang unta telah digantikan dengan robot mekanikal semenjak dari tahun 2005 kerana pemilik unta didapati terlibat dalam penyeludupan manusia untuk dijadikan penunggang unta dengan membeli kanak-kanak dari negara-negara seperti Pakistan dan India.


Lokasi, Kebd, Kuwait.