Monday, February 27, 2012

Misteri Penyakit Angguk

Sengsara...Anywar tidak boleh berjalan dan makan sendiri selepas diserang penyakit misteri

PATRICK ANYWAR, 14, yang tidak memakai seurat benang pun baring mengerekot di halaman rumahnya yang berdebu. Dia menggunakan seluruh kudratnya untuk merenung adik-adiknya yang yang leka bermain di depan rumah mereka di Uganda. 

Bagaimanapun tenaga dari tubuhnya yang kurus itu sangat terbatas. Selepas beberapa minit, kepalanya tertunduk sehingga dagunya menyentuh dada manakala badannya pula kelihatan tegang akibat sawan. 

Anywar adalah salah seorang daripada lebih 3,000 kanak-kanak di utara Uganda yang mengalami masalah misteri seperti itu - yang dipanggil penyakit angguk. 

Boleh dikatakan semua keluarga di kampung Tumangu mengalami penyakit misteri ini. 

Sudah bertahun-tahun saintis cuba mencari punca penyakit ini tetapi tidak berjaya dan menurut penduduk, penyakit angguk ini sudah mengorbankan beratus-ratus kanak-kanak. 

Apa yang mereka (saintis) tahu, penyakit misteri ini hanya berlaku pada kanak-kanak dan secara perlahan-lahan ia melemahkan badan pesakit dengan masalah sawan, membantutkan pertumbuhan, menjejaskan fungsi anggota tangan dan kaki, mengurangkan keupayaan mental dan kadangkala mengakibatkan kebuluran.

Penyakit ini sudah meragut abang Anywar, Wanton pada 2010. Ibu Anywar, Rugina Abwoyo, berkata dia tidak mampu melakukan apa-apa pada anak yang diserang penyakit angguk selain melihat dan reda melepaskan anaknya ‘pergi’.


“Sebelum ini, dia (Anywar) boleh berjalan dan berlari seperti kanak-kanak lain.

Tetapi kini dia hanya mampu baring. Perlu ada orang yang menemani dan menjaganya sepanjang masa. Penyakit ini sangat teruk, ia menyebabkan Anywar tidak boleh makan dan minum sendiri,” katanya.

Sambil berjalan meredah ladang sorghum atau betari (tumbuh-tumbuhan bijirin seperti pokok jagung), Joe Otto, sukarelawan kesihatan bercerita bagaimana penyakit angguk menyerang kanak-kanak Kampung Tumangu, yang terletak kira-kira 450 kilometer di utara Kampala, ibu negara Uganda.


“Tumangu didiami 780 penduduk dan di kampung ini saja ada 97 kes penyakit angguk. Boleh dikatakan semua keluarga mengalaminya,” kata Otto, 54.


Apabila bekalan ubat (yang hanya sekali sekala) tiba di pusat kesihatan tempatan yang terletak beberapa kilometer dari Tumangu, Otto terpaksa mengayuh basikal untuk mengambilnya sebelum diagihkan kepada pesakit. Pun begitu, Otto maklum, ubat berkenaan hanya memberi kelegaan sementara.


“Kami beri ubat seperti carbamazepine untuk epilepsi (yang menyebabkan sawan), tetapi penyakit ini sama sekali berbeza dengan epilepsi,” sambungnya lagi.


Apabila penyakit itu merebak ke seluruh kampung, ketakutan dan kebimbangan penduduk kampung mula berkurang. Malah mereka sudah boleh menerima kehadiran penyakit berkenaan.


“Kami beritahu penduduk bahawa pesakit yang meninggal dunia adalah mereka yang sudah sembuh. Mereka akhirnya terlepas daripada penyakit yang menyebabkan pelbagai penderitaan itu,” kata Otto dalam nada sedih.


Sehingga kini saintis masih berusaha mencari penawarnya. Sejak 2010, penyelidik daripada pelbagai bidang termasuk pakar epidemiologi, alam sekitar, neurologi, toksikologi dan psikiatri aktif melakukan pelbagai ujian.


Pakar ini cuba melihat kepada kemungkinan mengaitkan penyakit itu dengan semua perkara daripada parasit (yang menyebabkan kebutaan sungai) kepada kekurangan zat hinggalah kesan peperangan yang melanda utara Uganda selama beberapa dekad.


“Kami melihat daripada pelbagai aspek, tetapi malangnya masih belum jumpa apa-apa faktor risiko yang jelas. Kami masih melakukan kajian mencari ejen yang menyebabkan perkara ini berlaku,” kata Miriam Nanyunja, pegawai jabatan pencegahan dan kawalan penyakit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Kampala.


Selalunya hasil kajian akan mencetuskan lebih banyak persoalan. Saintis masih tidak tahu sama ada penyakit ini ada kaitan dengan ledakan penyakit yang lebih kurang sama di utara Sudan dan Tanzania.


Saintis juga giat berusaha untuk memahami dan mengetahui sama ada penyakit ini masih merebak atau sudah sampai ke kemuncaknya; dan mengapa ia hanya berlaku pada sesetengah komuniti saja.


Bulan lalu, selepas menerima banyak tekanan daripada pemerintah di kawasan yang mempunyai ramai pesakit, Kementerian Kesihatan Uganda melancarkan pelan kecemasan untuk cuba mengenal pasti dan mengawal penyakit.


Bagaimanapun Nanyunja berkata, sementara penyelidikan mencari punca dan penawar giat dilakukan, doktor hanya boleh memberi rawatan untuk mengurangkan gejala penyakit saja.


“Ada banyak penyakit yang kita rawat gejalanya saja, tanpa mengetahui punca sebenarnya,” kata Nanyunja.


Namun bagi Patrick Anywar, sebarang cubaan untuk mengekang atau merawat penyakitnya itu mungkin terlalu lewat.


“Kami berharap doktor berusaha lebih kuat untuk mencari rawatan penyakit ini.
Masa depan kami sudah musnah kerana terlalu ramai kanak-kanak yang sakit. Namun, kami tetap berharap ia akan dapat menyelamatkan anak-anak yang lebih kecil,” kata Abwoyo. - AFP

Petikan dari Harian Metro - 27 Febuari 2012

No comments:

Post a Comment