Saturday, September 1, 2012

Pemain ular tedung


Pelancong akan memenuhi Bishnupur pada setiap bulan Ogos untuk menyaksikan pertunjukan ular secara besar-besaran dalam Festival Jhapan.

Sebaik seruling ditiup, ular tedung dikatakan
akan menari mengikut alunan irama seruling itu.


Pemain ular boleh kita temui di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Namun, anda pasti tidak dapat menafikan tiada siapa yang boleh menandingi pemain dan penjinak ular yang terdapat di India. Di negara itu, pemain ularnya bukanlah calang-calang. Hal ini kerana mereka bukan melakukannya hanya sekadar hobi atau mengisi masa lapang.

Diangggap sebagai dewa dalam kepercayaan masyarakat Hindu, pemain ular melakukannya sebagai satu ritual.

Oleh kerana itulah, pelbagai festival diadakan untuk meraikan dewa-dewa tersebut di India.

Salah satu sambutan terbesar ialah Festival Jhapan yang didedikasikan untuk Dewa Manasha. Ia merupakan salah satu perayaan utama di wilayah Bishnupur apabila ribuan penduduknya akan keluar untuk membaca mantera bagi Dewa Manasha selain melihat pertunjukan ular.

Seekor ular tedung dewasa yang pasti menimbul
rasa gerun sesiapa sahaja saat melihatnya.



 
Pertunjukan ular di sana sangat unik dan menjadi tradisi sejak ratusan tahun. Ribuan pemain ular akan keluar berkumpul di kuil-kuil sambil di tangan masing-masing membawa bakul diperbuat daripada rotan atau buluh serta seruling.

Isi dalam bakul tersebutlah terletaknya kehebatan seseorang pemain ular.

Hal ini kerana kebiasaanya seekor ular tedung dewasa disimpan di dalam bekas tersebut.

Sebaik penutup bakul dibuka, seraya itu juga pemain ular akan meniup seruling. Seekor ular tedung yang biasanya akan bangun perlahan dan menari mengikut iraman tiupan seruling tuannya.

Ular tersebut dikatakan seperti terpukau dengan alunan seruling itu, sehingga menari dan mengembangkan kepalanya tanpa meninggalkan bakul atau mematuk pemain ular.

Pesta bermain ular tedung itu biasanya berlangsung seharian sepanjang festival.

Festival tersebut juga dikatakan bertujuan memohon doa daripada Dewa Manasha untuk memberikan kesuburan tanah di wilayah tersebut kerana kebanyakannya penduduknya menyara hidup dengan bercucuk tanam.

Sumber - Kosmo! Online - Rencana Utama