Wednesday, August 8, 2012

Labah-labah terbesar di dunia

Labah-labah yang dikenali sebagai `Goliath Bird Eating’ merupakan labah-labah yang terbesar di dunia. Labah-labah berbulu ini mempunyai ukuran panjang 30 sentimeter iaitu sebesar pinggan makan.

Selalunya ia mendiami kawasan lembah yang lembap.

Walaupun labah-labah ini dinamakan labah-labah pemakan burung namun ia menggemari makanan seperti katak, ular kecil, kelawar, serangga dan kumbang.

Ia mempunyai bisa di taringnya namun ia tidak begitu berbahaya kepada manusia.

Labah-labah ini tergolong dalam spesies tarantula tetapi hanya menyerang manusia jika ia diganggu.

Bisanya hanya akan menyebabkan bengkak dan sakit yang sederhana dan akan hilang dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Namun yang berbahaya ialah labah-labah ini mampu menanggalkan bulunya yang halus itu dan apabila ia terkena kepada manusia akan menyebabkan gatal-gatal pada kulit.

Apabila terasa diancam, labah-labah itu mampu membuat bunyi bising seakan berdesir dengan menggeselkan bulu di kaki-kakinya. Bunyi itu mampu didengari dalam jarak kira-kira 24 kilometer.



Sumber - Info Esti keluaran Mei 2003

Muzium minyak wangi terbaik dunia


KUASA minyak wangi pada zaman dahulu lebih kepada spiritual.
“Di sinilah tersimpannya warisan kebanggaan kami, tempat koleksi haruman chypre dari tahun 1917,” ujar Yves Tanguy, pemegang kunci bilik bawah tanah itu sambil mencelup kertas keras ke dalam bebuli minyak wangi yang merupakan satu antara ribuan khazanah unik di muzium minyak wangi di Paris, Perancis itu.

Haruman zaman dahulu ciptaan Francois Coty yang masyhur pada eranya bersama wangian abad ke-14, Water of the Queen of Hungary dan air dakelom (water cologne) yang digunakan Napoleon Bonaparte ketika berada dalam buangan di Saint Helena pada tahun 1815 juga boleh ditemui di Muzium Osmotheque.

Gabungan perkataan Yunani, osme yang bermaksud wangian dan theke bererti dada membentuk Osmotheque yang ditubuhkan oleh Jean Kerleo dan dipengerusikan oleh Patricia de Nicolai. Kerleo merupakan bekas pencipta minyak wangi di Patou, manakala Nicolai ialah waris kepada rumah minyak wangi terkemuka Guerlain.

Hanya individu terpilih mempunyai akses untuk masuk ke bilik persendirian yang memuatkan kira-kira 2,500 minyak wangi paling jarang ditemui.

Setiap minyak wangi di muzium itu dikelaskan mengikut nombor dan jenis. Botol-botol haruman pula disimpan di sebalik pintu bertetulang di dalam bilik bawah tanah berkeluasan beberapa meter persegi. Cahaya buatan dan suhu stabil 13 darjah celsius mengekalkan kualiti minyak wangi tersebut.

“Kesemua haruman ini adalah permata kami. Hampir 400 haruman yang kami lindungi merupakan wangian daripada masa lampau atau yang tidak lagi ada dalam pasaran.

“Kami mencipta semula 175 minyak wangian menggunakan formula asli. Wangian yang dikembalikan termasuk haruman Barat berasaskan alkohol pertama di dunia menggunakan rosemary iaitu Water of the Queen of Hungary. Ia pertama kali dihasilkan pada tahun 1370 menggunakan teknik penyulingan yang dipelajari daripada orang Arab,” jelas Tanguy.

ORANG awam berpeluang melihat pameran minyak wangi dan mendengar penerangan mengikut topik yang menarik pada waktu tertentu.
Pada waktu dahulu, minyak wangi dicipta untuk memabukkan si pemakai. Terdapat kisah mengatakan ia memiliki kuasa penawar bagi mengembalikan keremajaan seorang permaisuri sehingga membolehkan beliau dilamar dan berkahwin dengan Raja Poland pada usia 75 tahun.

Napoleon Bonaparte pula dipercayai memerlukan 120 liter minyak wangi setiap bulan. Beliau menggosok haruman pada tubuhnya dan menyimpan botol wangian itu di dalam butnya.

Selepas dibuang negeri ke pulau Atlantik di Saint Helena pada penghujung riwayatnya, Bonaparte memohon preskripsi untuk membuat dakelom menggunakan herba-herba di pulau tersebut. Kesemua ciptaan Bonaparte kini juga dihasilkan semula dan disimpan di Osmotheque.

Minyak wangi di muzium itu bukan untuk dijual dan kesemua 200 bekas sentiasa berisi sampel-sampel yang dibawa Kerleo dan Tanguy dari serata dunia. Ia merupakan hasil pemberian rumah-rumah minyak wangi mewah dan pencipta haruman itu sendiri.

Pada waktu tertentu, Osmotheque dibuka kepada orang awam bagi mengikuti ceramah dan penerangan tentang minyak wangi pada era tertentu yang ditetapkan berdasarkan tema.

Bagi menguruskan muzium tersebut, Kerleo telah mengumpulkan pangkalan data olfaktori bersama-sama sekumpulan pakar minyak wangi. Kumpulan tersebut ditugaskan untuk mengenal pasti formula haruman purba dan ramuan wangian yang jarang ditemui atau kini diharamkan penggunaannya.

Sebagai contoh, bendalir seperti musk yang dihasilkan daripada kelenjar perineum musang Afrika. Esen mamalia seperti kucing yang mula digunakan dalam dunia minyak wangi lebih 2,000 tahun dahulu itu kini tidak lagi dibenarkan.

MINYAK wangi yang telah pupus sejak berabad lama dicipta semula dan disimpan di muzium ini.

Bijian musk Tibet yang diambil daripada kelenjar kijang jantan kasturi (musk deer) juga kini diharamkan selepas diumumkan di persidangan perdagangan antarabangsa dalam kategori spesies terancam.

Menurut Kerleo, tanpa bijian itu tiada minyak wangi hebat Chanel dapat dihasilkan.

Kedua-dua pati bersejarah tersebut disimpan dengan selamat di bilik bawah tanah Osmotheque. Bahagian atas muzium pula menempatkan barisan botol-botol wangian berserta ramuan-ramuan menyerupai bentuk organ (alat muzik).

“Ini merupakan papan kekunci pakar minyak wangi,” ujar Kerleo sambil menunjukkan botol-botol yang disimpan sebaris dengan rak berlubang kecil berisi lumut oak, halia, kemenyan harum atau herba pokok nilam. – AFP


Wednesday, August 1, 2012

Lelaki Taksub Belon

COLLINS mendakwa ketaksubanya terhadap belon adalah suci
COLLINS gemar menyembunyikan belon
di dalam baju agar dapat merasakan kasih
sayang daripadanya
LITTLE ROCK: Rancangan siri Taboo oleh National 
Geographic memaparkan minat pelik dan taksub yang dikongsi orang ramai tetapi tidak sama seperti ketaksuban Dave Collins terhadap belon.

Guru piano berusia 27 tahun itu yang berasal dari Little Rock, Arkansas, berkata, dia mengumpul kebanyakan belonnya dengan mengutip atau menyelamatnya’ dari kedai jual kereta.

“Sukar memandu dengan belon yang begitu banyak dan anda hanya mahu mengambilnya,” kata Collins.

Hobinya pada waktu lapang bersama belon itu termasuk menyembunyikannya di bawah baju, mencium mereka dan tidur bersama mereka pada waktu malam.

Collins sering dirujuk oleh mereka yang mahir mengenai tabiat ini sebagai ‘looner’ atau orang yang memuja belon.

Dengan ramai yang menganggap tindakannya sebagai berunsur seksual, Collins bagaimanapun menegaskan, dia menjalinkan hubungan ‘suci’ dengan belon itu.

Sudah pasti sukar untuk bayangkan sama ada keseluruhan pengakuannya adalah benar apabila dia bersungguh-sungguh bercakap mengenainya.

“Cara terbaik untuk melindunginya ialah dengan meletakkannya di dalam baju dan anda akan merasakan belon itu bersama-sama anda.

“Ia dirasakan begitu rapat dan anda berasa begitu hangat. Hati anda dapat merasakan keindahan belon itu.

“Saya percaya belon-belon ini adalah anak-anak saya. Mereka adalah sebahagian daripada saya dan mereka menjadi sebahagian daripada apa yang dikatakan keluarga saya,” katanya.

Menurut National Geographic, Collins mempunyai 65,000 belon hasil daripada misi menyelamatnya.

“Kali pertama saya memulakan misi menyelamat belon, saya begitu bimbang untuk bercakap kepada pengurus kerana tidak tahu sama ada mereka akan membenarkannya atau tidak.

“Saya agak beremosi apabila menyelamatkan belon berkenaan,” katanya.

Sebahagian daripada ritualnya ialah tidur di samping belon berkenaan.

Dia berkata: “Saya suka tidur dengan memasukkan mereka ke dalam baju saya.” Saya mencipta dunia tidur seumpama itu kerana mahu merasakan sayang yang dihasilkan daripada belon itu.”

Ketaksubannya itu menyebabkan dia benci melihat atau mendengar ‘rakan-rakannya’ itu dipecahkan atau dibiarkan terbang.

“Saya merasakan belon mempunyai perasaan. Ia terdedah kepada banyak bahaya. Saya tidak suka mendengarnya sedih. Saya marah jika ia pecah. Belon perlukan kediaman yang baik,” katanya.”

Ini adalah tanda yang menurut pakar membuktikan dia bukan berpura-pura.

Menurut penulis mengenai ketaksuban mengaitkan ramai pemuja belon dengan pengalaman seksual peringkat awal dengan belon.

Ini bermakna sebahagiannya, mereka yang berpura-pura, sukakan bunyi belon meletup sementara yang lain, yang mempunyai fobia terhadap bunyi atau yang terlalu menyayangi mereka seperti Collins, tidak sanggup melihat belon itu ‘menderita.’ - DM

Monday, July 23, 2012

Budak makan bilik tidur

RACHEL dan anaknya, Zach. Keadaan plaster bilik yang dimakan Zach (gambar kecil).

SALFORD: Ibu kanak-kanak yang menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia tidak boleh menolak untuk makan apa saja yang berada di bilik tidurnya, merayu bantuan untuk membiayai sebuah bilik yang ‘boleh dimakan’ oleh kanak-kanak itu.

Zach Tahir yang menghidap Kecelaruan Selera Makan, memakan apa saja yang terdapat di bilik tidurnya, termasuk permaidani dan plaster. Ibu kanak-kanak berusia lima tahun itu, Rachel, yang tinggal di Salford, melancarkan kempen untuk membina sebuah bilik selamat untuknya selepas semakin bimbang mengenai keadaan anaknya.

Matlamat kempen mengutip derma ‘Beri Zach Masa Depan Yang Selamat’ ialah untuk membantu membina sebuah bilik khas berharga  15,000 (RM75,000) di kediaman keluarga itu di The Mead, Weaste.

Bilik itu akan dilengkapi dengan tilam dan bilik air khas untuk Zach yang juga autistik dan tidak boleh bercakap.

Kempen itu yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan disokong oleh beberapa bintang televisyen seperti Kum Marsh dan Ryan Thomas, pelakon siri Coronation Street dan aktor siri Torchwood, Paul Copley.

Rachel, 32, yang juga mempunyai anak perempuan berusia dua tahun berkata, dia terharu dengan sokongan itu.

‘Kempen itu kini mendapat sambutan. Sokongan daripada bintang Coronation Street banyak membantu kempen itu,” kata Rachel.

Selain membina bilik baru di rumah mereka, Rachel juga berharap dapat memasang kamera untuk membolehkannya mengawasi anaknya ketika malam, ketika tabiatnya itu berada di peringkat paling buruk.

Setakat ini,  3,400 (RM17,000) sudahpun berjaya dikumpul, termasuk menerusi tajaan jalan kaki dan jualan murah.

Satu lagi tajaan acara jalan kaki sejauh lapan kilometer dari Selfridges di Trafford Centre ke Exchange Square di bandar Manchester akan diadakan Ahad ini. - DM




Sumber - myMetro - 23/07/2012

Thursday, July 19, 2012

Syiling emas berusia 1,000 tahun


Syiling emas berusia 1,000 tahun yang ditemui di dalam sebuah mangkuk seramik oleh arkeologi di pamerkan di Muzium Arsuf, Tel Avic, baru-baru ini.

Syiling emas itu dilapurkan ditemui di lokasi Perang Salib yang berlaku di antara pejuang Islam dan tentera Kristian kira-kira 1,000 tahun lalu.

Syiling emas itu yang mempunyai nilai tinggi, dikeluarkan pada tahun 1265 dan disangka ditanam - sebenarnya disembunyikan dalam sebuah tempayan pecah bagi mengelakkan ia ditemui.


Muatan Penuh

Lelaki ini membawa dua karung besar barang-barang yang diperbuat daripada plastik untuk dikitar semula, menggunakan motor roda tiga, di jalan Taiyuan, wilayah Shanxi di China, semalam.

Wednesday, July 11, 2012

Lembu beranak dua

A. Ghani melihat anak lembu jantan kembar yang dilahirkan
Sabtu lalu oleh salah seekor lembu betina dipeliharaannya
di Kampung Tok Gebok.
KAMPUNG TOK GEBOK - Lembu beranak dua. Ia mungkin bukan perkara biasa, namun keadaan itu amat jarang berlaku dan kerana itulah, komuniti di sini gempar apabila seekor lembu dipelihara seorang datuk 22 cucu, beranak kembar dua Sabtu lalu.

Tambah mengejutkan pemiliknya, A Ghani Muhammad, 74, kejadian itu pertama kali dihadapinya biarpun mula memelihara lembu sejak usianya belasan tahun
lagi dan sudah ada individu menawarkannya RM3,000 untuk membeli pasangan anak lembu jantan kembar dan ‘ibu’nya itu.

Menurut A Ghani, ia juga menjawab segala tanda tanya dia sekeluarga setelah mendapati perut lembu betina peliharaannya itu terlalu bunting sewaktu haiwan berkenaan ‘pulang’ seekor ke rumah secara tiba-tiba sekitar tiga minggu lalu.

“Pakcik mempunyai hampir 20 lembu dan dilepaskan di kawasan hutan berhampiran. Kebiasaannya, haiwan ini bergerak secara berkumpulan. Namun, pakcik terkejut apabila mendapati salah seekor lembu betina dipelihara pulang.

“Mulanya pakcik terfikir mungkin haiwan ini ingin beranak di belakang rumah kerana melihat keadaannya bunting. Malah, pakcik juga tertanya-tanya kenapa perut
lembu betina ini terlalu buncit bukan sebagaimana lembu-lembu betina yang lain ketika bunting," katanya.

Menurutnya, segalanya terjawab pagi Ahad lalu apabila dia mendapati haiwan itu beranak kembar dua.

"Petang Sabtu lalu kira-kira jam 5 petang, ketika pergi ke belakang rumah, pakcik dapati lembu ini sudahpun beranak tetapi hanya melihat seekor sahaja anaknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk memindahkan lembu betina dan seekor anak lembu itu ke dalam kandang kira-kira 50 meter dari tempat itu, tanpa menyedari terdapat seekor lagi anak lembu.

“Malam itu, lembu betina tersebut asyik berbunyi dan pakcik fikirkan ia mungkin disebabkan haiwan ini baru beranak. Keesokannya iaitu kira-kira jam 9 pagi, sebaik membuka pagar kandang, lembu betina ini terus meluru ke lokasinya beranak.

“Pakcik terkejut melihat ada seekor anak lembu meluru ke arah lembu betina ini. Ketika itulah baru menyedari haiwan ini beranak kembar dua dan ia benar-benar mengejutkan pakcik yang sudah sekian lama memelihara lembu ini. Setiap seekor dianggarkan seberat 20 kilogram," katanya.

Menurutnya, walaupun sudah ada tawaran untuk membeli lembu betina dan anak lembu kembar ini, namun buat masa ini dia tidak bercadang menjualnya.

"Sebaliknya, pakcik berhasrat memeliharanya untuk disembelih bagi adakan kenduri di rumah ini,” katanya.

Sumber - Sinar Harian