Thursday, July 19, 2012

Syiling emas berusia 1,000 tahun


Syiling emas berusia 1,000 tahun yang ditemui di dalam sebuah mangkuk seramik oleh arkeologi di pamerkan di Muzium Arsuf, Tel Avic, baru-baru ini.

Syiling emas itu dilapurkan ditemui di lokasi Perang Salib yang berlaku di antara pejuang Islam dan tentera Kristian kira-kira 1,000 tahun lalu.

Syiling emas itu yang mempunyai nilai tinggi, dikeluarkan pada tahun 1265 dan disangka ditanam - sebenarnya disembunyikan dalam sebuah tempayan pecah bagi mengelakkan ia ditemui.


Muatan Penuh

Lelaki ini membawa dua karung besar barang-barang yang diperbuat daripada plastik untuk dikitar semula, menggunakan motor roda tiga, di jalan Taiyuan, wilayah Shanxi di China, semalam.

Wednesday, July 11, 2012

Lembu beranak dua

A. Ghani melihat anak lembu jantan kembar yang dilahirkan
Sabtu lalu oleh salah seekor lembu betina dipeliharaannya
di Kampung Tok Gebok.
KAMPUNG TOK GEBOK - Lembu beranak dua. Ia mungkin bukan perkara biasa, namun keadaan itu amat jarang berlaku dan kerana itulah, komuniti di sini gempar apabila seekor lembu dipelihara seorang datuk 22 cucu, beranak kembar dua Sabtu lalu.

Tambah mengejutkan pemiliknya, A Ghani Muhammad, 74, kejadian itu pertama kali dihadapinya biarpun mula memelihara lembu sejak usianya belasan tahun
lagi dan sudah ada individu menawarkannya RM3,000 untuk membeli pasangan anak lembu jantan kembar dan ‘ibu’nya itu.

Menurut A Ghani, ia juga menjawab segala tanda tanya dia sekeluarga setelah mendapati perut lembu betina peliharaannya itu terlalu bunting sewaktu haiwan berkenaan ‘pulang’ seekor ke rumah secara tiba-tiba sekitar tiga minggu lalu.

“Pakcik mempunyai hampir 20 lembu dan dilepaskan di kawasan hutan berhampiran. Kebiasaannya, haiwan ini bergerak secara berkumpulan. Namun, pakcik terkejut apabila mendapati salah seekor lembu betina dipelihara pulang.

“Mulanya pakcik terfikir mungkin haiwan ini ingin beranak di belakang rumah kerana melihat keadaannya bunting. Malah, pakcik juga tertanya-tanya kenapa perut
lembu betina ini terlalu buncit bukan sebagaimana lembu-lembu betina yang lain ketika bunting," katanya.

Menurutnya, segalanya terjawab pagi Ahad lalu apabila dia mendapati haiwan itu beranak kembar dua.

"Petang Sabtu lalu kira-kira jam 5 petang, ketika pergi ke belakang rumah, pakcik dapati lembu ini sudahpun beranak tetapi hanya melihat seekor sahaja anaknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk memindahkan lembu betina dan seekor anak lembu itu ke dalam kandang kira-kira 50 meter dari tempat itu, tanpa menyedari terdapat seekor lagi anak lembu.

“Malam itu, lembu betina tersebut asyik berbunyi dan pakcik fikirkan ia mungkin disebabkan haiwan ini baru beranak. Keesokannya iaitu kira-kira jam 9 pagi, sebaik membuka pagar kandang, lembu betina ini terus meluru ke lokasinya beranak.

“Pakcik terkejut melihat ada seekor anak lembu meluru ke arah lembu betina ini. Ketika itulah baru menyedari haiwan ini beranak kembar dua dan ia benar-benar mengejutkan pakcik yang sudah sekian lama memelihara lembu ini. Setiap seekor dianggarkan seberat 20 kilogram," katanya.

Menurutnya, walaupun sudah ada tawaran untuk membeli lembu betina dan anak lembu kembar ini, namun buat masa ini dia tidak bercadang menjualnya.

"Sebaliknya, pakcik berhasrat memeliharanya untuk disembelih bagi adakan kenduri di rumah ini,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

Monday, July 9, 2012

Dua kelapa kongsi tangkai

Ramlee menunjukkan kelapa muda dibeli pelik kerana
dua biji di satu tangkai.

GUA MUSANG - Mungkin jarang ditemui, dua kelapa berkongsi satu tangkai. Namun itu penemuan pelik penjual air kelapa muda, Ramlee Mohamed, 41, di Kampung Kolam Emas, dekat sini, kelmarin.

Menurut Ramlee, kelapa muda itu dibeli daripada peniaga kelapa muda dua hari lalu dan tidak menyangka daripada lima kelapa muda dibeli, dua didapati kembar.

“Sebaik mendapati kelapa muda itu pelik kerana dua biji pada satu tangkai.

"Jadi saya simpan dahulu di rumah sementara menghabiskan kelapa lain dahulu untuk dijual airnya,” katanya.

Beliau berkata, sejak berniaga menjual air kelapa muda lima tahun lalu, inilah kali pertama menemui kejadian sebegitu dan kebiasaannya satu tangkai hanya sebiji kelapa.

“Saya kerap menemui perkara pelik sejak berniaga air kelapa muda dan tebu. Sebelum ini tebu yang ditanam hingga melebihi tujuh meter,’ katanya.

Sumber :- Sinar Harian

Saturday, July 7, 2012

Mulut masin Tok Batin Bak



AKI Gadong meraut bertam untuk
dijadikan demak sumpitnya.

Bagi Tok Batin Bak Raja Tek, 68, biarpun kehidupannya jauh di dalam hutan, ketua masyarakat Orang Asli Che Wong yang menetap di pinggir Hutan Simpan Krau, Pahang, ini beranggapan selagi mereka boleh bercucuk tanam, mencari hasil hutan dan berburu, itu sudah memadai.

“Kami bukan menolak kemodenan. Kami cuma lebih selesa mengekalkan kehidupan tradisi yang membenarkan kami mencari rezeki di dalam hutan,” kata Bak yang sudah puluhan tahun tinggal di situ.
Dia dan anak-anak buahnya mahir benar dengan selok-belok di dalam hutan. 

Dia juga sudah faham sangat dengan fungsi kepelbagaian spesies pokok-pokok hutan yang ada di situ.“Ada pokok boleh buat ubat, ada pokok boleh jadi racun. Ada juga pokok boleh jadi pelindung dan ada juga pokok yang boleh mendatangkan mudarat, semuanya bergantung kepada apa niat kita ketika masuk ke dalam hutan. 

“Nampak macam remeh, tetapi kalau ada yang langgar pantang larang, hendaklah mereka bersedia menanggung akibatnya,” jelas Bak yang mengakui hutan adalah tempat yang penuh dengan misteri.

“Bila memasuki hutan, perlu diingat empat perkara.“Pertamanya hubungan sesama manusia. Kedua, hubungan terhadap haiwan, ketiga, hubungan dengan alam sekitar atau hubungan dengan semangat yang menjaga hutan dan segala isinya. 

“Sebab itu, kalau ada orang luar mahu datang berburu di sini, mereka perlu tahu tentang undang-undang hutan supaya tidak berlaku musibah,” katanya.

Jelas Bak lagi, mengikut kepercayaan Che Wong, memburu haiwan yang sedang bunting adalah sangat dilarang kerana mereka percaya ada semangat hutan yang menjaganya.

“Kami percaya ada roh baik dan roh jahat. Pantang larang ini sudah kerapkali diberitahu kepada pemburu, tetapi masih ada juga yang berdegil.

“Selalu juga kami dengar berita, bila ada pemburu menembak mati kijang atau rusa yang bunting, anak mereka di rumah juga mati.

Ganti nyawa

“Kalau haiwan itu tidak mati tetapi tercedera dan berjaya melarikan diri, pemburu itu sendiri akan mendapat musibah. 

“Anak-anak buah saya selalu terserempak dengan pemburu yang herot mulut, bengkak kaki, hilang ingatan dan bermacam-macam lagi masalah selepas keluar dari hutan. 

“Saya percaya, itu hukuman yang perlu mereka terima kerana melanggar pantang,” kata Bak yang menasihatkan pemburu supaya faham tentang kehidupan haiwan liar di situ sebelum menjadikannya sebagai sasaran. 

Bagi Bak dan adiknya, Aki Gadong, 50-an, kini mereka sudah jarang berburu. 

“Kijang, pelanduk, rusa, napuh semakin berkurangan sekarang. Kalau jumpa pun, ia masih kecil lagi,” kata Aki Gadong yang menggunakan sumpit untuk berburu. 

Sumpit yang menggunakan demak beracun, walaupun sinonim dengan masyarakat Che Wong namun sesiapa pun tidak boleh bermain-main dengannya. 

“Racun ini kami ambil daripada pokok ipoh dari dua tempat, satu di atas gunung dan satu lagi di tanah rata.
“Kami percaya racun pokok ipoh di atas gunung lebih berbisa berbanding pokok di tanah rata,” ujar Aki Gadong. 

Tambahnya lagi, getah tersebut akan dimasak dan dicampur dengan ramuan lain sebelum boleh dijadikan racun damak atau lebih dikenali sebagai tengloid dalam kalangan masyarakat Che Wong.

“Untuk hasilkan racun damak terbaik, getah pokok ipoh yang ada di tanah hulu perlu dicampurkan dengan getah pokok ipoh yang diambil dari Gunung Benom. 

“Semasa dimasak, asap perlu dielakkan daripada hampir ke muka kerana menghidu asapnya sahaja sudah boleh memeningkan kepala,” katanya. 

Selepas dimasak, damak yang diraut daripada batang pokok bertam sehingga lancip dicelupkan ke dalam acuan racun sebelum dijemur sehingga kering. 

“Proses menyediakan damak beracun perlu dilakukan secara berhati-hati supaya racun tidak menembusi kulit kerana ia boleh mengakibatkan kematian,” katanya yang memberitahu racun pokok ipoh bukan sahaja ada pada getahnya tetapi pada fizikal pokok itu sendiri. 

“Kalau masuk ke hutan, seboleh-bolehnya kami mengelak daripada berhenti di bawah pokok ipoh kerana ia boleh mendatangkan rasa loya malah muntah-muntah jika tidak biasa,” ujar Aki Gadong. 

Sungguhpun pokok itu beracun, ada mantera yang boleh menawarnya.“Abang saya antara orang yang boleh menawarkan racun pokok ipoh.“Apabila dibacakan mantera dan dicampurkan dengan bahan-bahan tertentu, racun hilang bisanya malah boleh dicalit ke lidah tanpa was-was,” ujarnya.
  



Sumber - Kosmo Online

Bugatti Veyron - Bukan kereta biasa


Tuesday, June 12, 2012

Rupert, 9 kg, kucing paling besar di Australia

BESAR...Natalie Chettle menjulang Rupert, milik ibunya.

SYDNEY: Dengan saiz tiga kali ganda berbanding kucing biasa, ramai yang berfikir Rupert tidak akan membesar lagi buat masa ini.

Bagaimanapun, kucing saiz besar melampau itu yang berat sembilan kilogram dan dianggap sebagai antara kucing paling besar di dunia, hanya baru membesar separuh dan dijangka terus bertambah gemuk.
Kucing baka Maine coon itu baru mencapai separuh daripada berat kemungkinannya pada usia hampir tiga tahun. Beratnya dijangka bertambah sebanyak lima kilogram lagi.

Hakim pertandingan kucing berkata, Rupert yang tiga kali menjadi juara di negara asalnya, Australia, adalah kucing Maine coon baka tempatan paling besar pernah mereka lihat.

Hakim, Lesley Morgan Blythe berkata: “Dia sungguh besar, kucing gergasi dan masih belum membesar sepenuhnya.
COMEL...Rupert menjuarai pertandingan kucing
di Australia sebanyak tiga kali.

“Dia lebih besar berbanding kucing Maine coon yang pernah saya lihat.”

Pemilik Rupert, Kyra Foster, berkata: “Dia kelihatan sungguh hebat dengan bulu yang panjang di samping mukanya yang kelihatan liar.

“Orang ramai akan terpesona apabila melihatnya.”

Kucing Maine coon terkenal sebagai baka yang menghasilkan kucing tempatan besar.

Berasal dari Maine, negeri di Amerika Syarikat, kucing itu mempunyai ciri tersendiri kerana ekornya yang berbulu lebat dan panjang dan boleh membesar sehingga lebih satu meter. - DM